Solo: Blatter raba punggung saya

Oleh Penulis Jemputan 11 November 2017 10233
Solo: Blatter raba punggung saya
Hope Solo, penjaga gol terbaik dalam sejarah skuad kebangsaan Amerika Syarikat, mendakwa bekas presiden FIFA, Sepp Blatter, telah melakukan gangguan seksual terhadap dirinya.

Solo memberitahu media Portugal: "Sepp Blatter meraba punggung saya," sebelum mereka menyampaikan anugerah Ballon d'Or 2013.

"Saya sangat terkejut mengenai perkara itu," kata Solo yang turut memberitahu The Guardian: "Saya terpaksa mengawal perasaan untuk memberikan anugerah itu kepada rakan sepasukan saya (Abby Wambach). Saya mengalihkan tumpuan kepada Abby."

"Saya sebenarnya kecewa dengan wanita yang tidak bersuara mengenai perkara ini," jelas Solo kepada Expresso. "Saya berharap lebih ramai wanita, terutama sekali dalam bola sepak, bersuara mengenai perkara ini.

"Walaupun dalam hal ini, Sepp Blatter merupakan individu yang paling berkuasa dalam bola sepak pada ketika itu, gangguan seksual dan tingkah laku seumpamanya terhadap wanita perlu dihentikan."

Blatter, 81, digantung oleh FIFA selama enam tahun pada 2015 selepas terlibat dengan kes rasuah. Beliau telah berkhidmat sebagai presiden organisasi itu sejak 1998 sehingga digantung.

Pada 2004, Blatter menyatakan bola sepak wanita dapat menarik lebih ramai penonton jika mereka menyarung seluar pendek yang ketat seperti pemain-pemain bola tampar.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen