Santiago Solari sudah pun melupakan kekalahan Real Madrid di Eibar dengan menegaskan bahawa "setiap hari adalah ujian besar" apabila mengalihkan tumpuannya kepada Roma dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL).

Dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus Madrid, setelah memenangi empat perlawanan berturut-turut sebagai pemangku jurulatih, Solari menyaksikan pasukannya dibelasah 3-0 dalam aksi LaLiga di laman sendiri pada hujung minggu lalu serta menampilkan corak permainan yang cukup goyah.

Biarpun Solari mengakui ia membuatkan mereka tidak berasa selesa menjelang aksi seterusnya, namun dia tidak berminat untuk terus dibelenggu kekecewaan.

Madrid akan menghadapi Roma, awal pagi esok, dan mengerti bahawa kemenangan di Stadio Olimpico akan menjamin kemaraan mereka ke pusingan 16 UCL sebagai pemenang kumpulan.

"Pertemuan dengan (Eibar) adalah sukar tetapi ia sudah berakhir. Kami telah membincangkannya dan kami akan cuba memperbaikinya," kata Solari dalam sidang akhbar.

"Dengan kejayaan dalam empat perlawanan sebelum ini, ia sudahpun berlalu. Kami perlu terus bergerak ke hadapan.

"Begitu juga dalam kempen ini. Kami berada di Rome untuk pertandingan yang berbeza, kami perlu mulai fokus dalam pertandingan ini. Kami tidak gusar tentang selebihnya. "

Solari menolak cadangan bahawa minggu ini menawarkan ujian sulung sebenarnya di Santiago Bernabeu sambil menegaskan bahawa dia telah mengatasi banyak halangan.

"Semua perlawanan adalah ujian. Setiap hari adalah ujian besar," kata bekas pemain tengah itu.

"Saya sudah berada di sini selama 16 tahun dan saya terpaksa menempuhi ujian yang berbeza, ini kerana kelab ini telah melakar kemenangan paling banyak dalam kancah ini."