Solari: Saya gembira dengan Isco

Oleh Staff Writer 7 Disember 2018 167
Solari: Saya gembira dengan Isco
Santiago Solari menegaskan dia berpuas hati dengan Isco selepas pemain tengah itu beraksi cemerlang ketika diletakkan dalam kesebelasan utama sewaktu Real Madrid menundukkan Melilla 6-1 dalam aksi Piala Raja Sepanyol di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.

Perancang Sepanyol itu hanya memanaskan bangku simpanan sejak Solari menggantikan tempat Julen Lopetegui selaku pengendali Los Blancos dan diketepikan daripada skuad dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang AS Roma minggu lalu.

Dia kembali dalam kesebelasan utama ketika aksi awal pagi tadi tatkala Madrid memulakan perlawanan dengan kelebihan agregat 4-0.

Marco Asensio membuka tirai jaringan selepas setengah jam aksi sebelum membuka ruang untuk tiga gol lagi dalam tempoh enam minit.

Selepas rehat, Isco menyertai Asensio dengan catatan dua gol peribadi hasil daripada bantuan Vinicius Junior serta rembatan dari jarak 25 ela sehingga membuatkan Solari bertepuk tangan.

"Saya sangat gembira dengan Isco. Dalam masa sama, saya bersimpati dia terlepas menyumbat gol dalam babak pertama kerana ia mampu menjadi jaringan hebat," ujar Solari.

"Saya juga gembira dengan Asensio yang menghasilkan dua gol serta Vinicius yang menyumbat jaringan terakhir pasukan."

Pertahanan muda Los Blancos, Javi Sanchez, menjaringkan gol pertama buat skuad senior sebelum menghadiahkan sepakan penalti buat lawan, memberikan jaringan buat Yacine Qasmi pada minit ke-81.

"Perlawanan ini membolehkan kami melihat ramai pemain yang beraksi bagus dan komited," tambah Solari.

"Kami tampak kukuh dan bagus ketika menyerang. Melilla adalah pasukan yang baik, pendahulu bagi saingan Segunda B.

"Saya gembira dengan apa yang ditunjukkan pemain senior, pemain muda serta pemain daripada skuad belia.

"Saya berbesar hati melihat penampilan pertama daripada Alvaro Fidalgo, Francisco Garcia serta jaringan daripada Sanchez,"tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen