REAL MADRID 0 CSKA MOSCOW 3

Santiago Solari memikul tanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan 0-3 Real Madrid kepada CSKA Moscow di Santiago Bernabeu dalam Liga Juara-Juara (UCL) -- kekalahan terburuk mereka dalam kempen Eropah.


Fedor Chalov, Georgy Schennikov dan Arnor Sigurdsson menyempurnakan kejayaan berganda ke atas Madrid selepas wakil Russia itu turut menundukkan lawan yang sama 1-0 sebelum ini.

Keputusan itu tidak memberi kesan kepada kedudukan Madrid yang menamatkan saingan Kumpulan G sebagai pendahulu, namun ia menandakan episod yang memalukan dalam sejarah mereka yang penuh bergaya.

"Saya berasa sedih kerana kami sudah melayakkan diri dan kami mahu menutup aksi di peringkat kumpulan dengan baik, bukannya seperti itu," kata Solari, yang memberikan beberapa peluang kepada pemain terpinggir untuk aksi awal pagi tadi.

"Kami memulakan permainan dengan baik dan dalam tempoh 30 hingga 35 minit pertama, ia berlangsung dengan baik. Begitupun, kami tidak cukup ampuh di dalam kedua-dua kotak penalti dan mereka menghukum kami.

"Saya sedih atas keputusan perlawanan ini. Jika kami mengambil risiko, permainan mungkin berbeza. Bola sepak sering bergantung kepada aksi mantap dan pada hari ini, kami tidak cukup bagus di depan kedua-dua gawang.

"Perlawanan ini merupakan peluang kepada beberapa pemain untuk beraksi, sama ada kerana mereka biasanya kurang memainkan peranan atau kerana mereka baru kembali daripada kecederaan.

"Kami mengambil risiko dengan meletakkan barisan pemain seperti itu dan saya memikul tanggungjawab ini."

Salah seorang pemain yang diturunkan ialah Isco, yang kembali beraksi dalam pertembungan Copa del Rey dengan Melilla minggu lalu, selepas dipinggirkan sejak Oktober lalu.

Bagaimanapun, pemain Sepanyol itu gagal mencuri perhatiannya dan dilihat terpengaruh dengan ejekan penyokong dalam babak kedua.

"Kami tidak suka ejekan terhadap sesiapapun tetapi prestasi kami tidak bagus dan kami perlu akur," tambah Solari.

"Saya tidak melihatnya (reaksi Isco). Ia keputusan yang mengecewakan untuk tewas di tempat sendiri dan ia bukanlah seperti apa yang kami jangkakan.

"Memang normal mereka mengejek. Peminat meluahkan perasaan mereka kerana mereka tidak gembira dengan keputusan perlawanan ini."

Meskipun mencatat kejayaan bersejarah, CSKA terlepas kelayakan ke Liga Europa berikutan kemenangan 2-1 Viktoria Plzen ke atas Roma.

"Ia sesuatu yang menyedihkan kerana kami mengalahkan Real Madrid dan meraih tujuh mata. Tetapi, perjuangan kami sudah berakhir dan kami tersingkir daripada kempen Eropah.

"Namun, kami hanya patut menyalahkan diri sendiri. Kami memastikan kami akan menghabiskan cuti dalam suasana yang hebat selepas kemenangan malam ini," kata pengurus CSKA, Viktor Goncharenko.