Solari pertahan aksi hambar Asensio

Oleh Staff Writer 16 Disember 2018 95
Solari pertahan aksi hambar Asensio
REAL MADRID 1 RAYO VALLECANO 0

Ketua jurulatih Real Madrid, Santiago Solari, memuji aksi dipamerkan Marco Asensio walaupun pemain tengah itu kerap kali mempersia-siakan peluang jaringan buat pasukannya ketika mereka meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Rayo Vallecano dalam saingan LaLiga, awal pagi tadi.


Gol pertama Karim Benzema sejak enam perlawanan terakhir membantu kemenangan Real Madrid, namun ia gagal memberikan keyakinan buat kebanyakan penyokong di Santiago Bernabeu.

Thibaut Courtois yang jarang-jarang diancam lawan sepanjang perlawanan, terpaksa menyelamatkan dua situasi genting yang menimbulkan kemarahan buat sebahagian besar penyokong tuan rumah.

Barisan pemain Real Madrid diherdik penyokong sendiri selepas tamat perlawanan.

Pemain muda Sepanyol, Asensio, terlepas dua peluang berharga, namun Solari menegaskan dia tidak mempunyai sebarang isu besar terhadap pemain berusia 22 tahun itu mahupun reaksi yang diberikan penyokong.

"Saya gembira dengan sokongan yang diberikan penyokong sepanjang perlawanan.

"Kami memperoleh beberapa peluang keemasan, namun itulah bola sepak.

"Asensio pemain yang sangat aktif.

"Dia bekerja keras di bahagian pertahanan dan serangan.

"Itulah Asensio yang kami mahu saksikan.

"Saya menyukai perlawanan itu.

"Dia perlu berusaha menyempurnakan jaringan selepas ini," katanya.

Asensio dikeluarkan pada minit ke-70 selepas mengalami kecederaan paha.

Benzema turut berdepan situasi sama selepas mengalami kecederaan buku lali tidak lama selepas itu.

Kedua-dua pemain itu berkemungkinan besar terlepas aksi separuh akhir Piala Dunia Kelab menentang Kashima Antlers di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Rabu ini.

"Benzema tercedera, begitu juga Asensio.

"Kami akan melihat keadaan mereka di dalam pesawat nanti kerana kesuntukan masa," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen