Pemangku jurulatih Real Madrid, Santiago Solari, melabel Isco sebagai "istimewa", namun enggan memberikan tekanan buat pemain tengahnya itu.

Isco, 26, menjalani pembedahan apendiks, September lalu, dan tidak bermula selaku kesebelasan utama dalam tiga perlawanan terakhir -- tiga kemenangan sejak di bawah kendalian Solari.

Solari memuji pemain kebangsaan Sepanyol itu, namun mahukan Isco melakukan sedikit penambahbaikan bagi mengembalikan prestasi sebenarnya seperti sebelum ini.

"Kami tahu Isco mempunyai kualiti yang istimewa. Dia sedang berusaha keras untuk mendapatkan prestasi terbaik.

"Dia melalui pembedahan yang penting sebelum ini dan bukan mudah untuk kembali cergas.

"Namun, dia tetap berlatih dengan bersungguh-sungguh.

"Semua yang pernah menjadi pemain bola sepak pasti tahu bahawa kami perlu berlatih untuk kembali mendapatkan kecergasan," kata Solari dalam sidang media.

Madrid setakat ini telah menjaringkan 11 gol tanpa bolos sejak diambil alih Solari dan akan bertandang ke laman Celta Vigo bagi aksi LaLiga, malam ini.