Penjaga gol negara, Farizal Marlias, mengakui aura 'pemain ke-12' membantunya untuk beraksi cemerlang dalam penampilan sulungnya bagi kempen Piala Suzuki AFF 2018.

Selepas sekadar memanaskan bangku simpanan dalam tiga perlawanan terdahulu, Farizal akhirnya diberi peluang untuk beraksi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Malaysia menundukkan Myanmar 3-0 di hadapan lebih 80,000 penonton untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan di belakang Vietnam.

Kepercayaan itu dibalas menerusi ketangkasannya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya lawan untuk memastikan gawang skuad negara tidak dibolosi.

"Saya bersyukur kerana staf dan penyokong yang hadir semalam. Mereka memberikan lebih motivasi untuk beraksi lebih baik. Ini adalah kemenangan untuk mereka," ujar Farizal.

Dijangka mengekalkan kedudukannya sebagai penjaga gol utama negara dalam perlawanan separuh akhir nanti, Farizal bertekad untuk terus memperagakan aksi mantap dalam usaha membantu skuad negara mara ke perlawanan akhir pula.

"Sasaran kami adalah separuh akhir. Apa yang penting, kami melaluinya selangkah demi selangkah.

"Sesiapa yang diturunkan diharap dapat mempamer aksi sehabis baik."