Pemain tengah Belanda, Wesley Sneijder, membuktikan pengkritiknya salah apabila menyamai rekod 130 penampilan antarabangsa milik Edwin Van Der Sar dalam kemenangan 5-0 ke atas Ivory Coast, semalam.

Pemain tengah Galatasaray itu tidak lagi menjadi pilihan utama dalam skuad Oranje dan sesetengah pengkritik menyifatkan zamannya di peringkat antarabangsa telah berakhir.

Bagaimanapun, Sneijder masih diberi kepercayaan untuk mewakili pasukan negaranya serta memperoleh pelepasan daripada kelab untuk bermain dengan Belanda dalam usahanya mengejar rekod Van Der Sar, meskipun terpaksa melalui jadual yang padat.

Pemain berusia 32 tahun itu beraksi untuk kelab Turki itu dalam pertemuan dengan Alanyaspor pada 29 Mei sebelum tampil sebagai pemain gantian ketika Belanda menewaskan Maghribi dua hari kemudian.

Sneijder kemudian bergegas kembali ke Istanbul untuk perlawanan terakhir liga sebelum kembali bersama skuad Oranje untuk perlawanan semalam.

Dia menerima banyak kritikan di atas usaha yang dilakukan untuk mengejar rekod itu tetapi Sneijder tetap tidak mengendahkannya.

“Van Der Sar memasuki umur 40 tetapi saya baru hampir mencecah 33,” kata Sneijder.

“Ia sangat hebat dan istimewa kerana kini memegang rekod yang sama dengan Van Der Sar, dan semua sedar seorang penjaga gol kebiasaannya bermain lebih lama berbanding pemain posisi lain, jadi lebih mudah untuk mereka sampai ke tahap ini.

“Saya mendengar banyak kritikan tetapi saya tidak peduli kerana mungkin mereka cemburu dan ia membuatkan saya lebih bersemangat,” ujar Sneijder.

Sneijder bakal memegang rekod baru dengan meraih 131 penampilan antarabangsa jika beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Luxembourg pada Jumaat.