Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan badan induk itu memberi tempoh sehingga Khamis ini kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk menimbang semula tawaran beraksi dalam Piala AFC musim depan.

PBNP sebelum ini membuat keputusan mengejut apabila menolak tawaran FAM menggantikan Kedah sebagai wakil Malaysia bersaing dalam kejohanan itu, dengan memberi alasan ingin fokus terhadap liga tempatan.

Begitupun, tindakan itu tampak mengundang padah apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kemudian mengesahkan slot itu akan diberikan kepada negara lain berdasarkan Fasal 12.12, Peraturan Pertandingan AFC.

Ini kerana Pahang, yang memenuhi syarat kelayakan tetapi enggan menyertai kejohanan itu, secara automatik slot itu terbatal dan tidak boleh diberikan kepada pasukan tempatan lain.

Enggan berdepan dengan kesan kejatuhan ranking Liga Malaysia, FAM kini dalam fasa pujuk rayu dengan PBNP.

"Kami akan menghantar surat kepada Pahang hari ini dan memberi tempoh sehingga Khamis depan.

"Ia bagi memberi peluang kepada Pahang fikirkan semula untuk bertanding dalam Piala AFC. Ia memberi kesan kepada slot kita," ujar Hamidin.

Sebelum ini, slot tersebut menjadi milik Kedah di atas kapasiti sebagai juara Piala FA, namun skuad Lang Merah tidak boleh beraksi kerana gagal memenuhi syarat pelesenan kelab AFC.

Berikutan itu, FAM menawarkan slot kedua itu kepada Pahang selaku naib juara Liga Super dan Piala FA.

"Ia akan memberi kesan ranking kita kerana AFC tidak membenarkan pasukan (tempatan) lain untuk menggantikan Pahang," ujarnya.