Sampdoria mengesahkan pemain yang sebelum ini dijangkiti coronavirus telah bebas daripada wabak itu.

Bulan lalu, kelab Serie A, Sampdoria, mengumumkan Manolo Gabbiadini, Omar Colley, Albin Ekdal, Antonino La Gumina dan Morten Thorsby diuji positif dalam ujian Covid-19.

Turut dijangkiti wabak itu adalah seorang staf kesihatan kelab sambil Covid-19 terus mengganas di seluruh dunia.

Namun, semalam, Sampdoria mengumumkkan kesemua staf dan pemain pasukan itu yang dijangkiti coronavirus sebelum ini telah bebas dan pulih sepenuhnya.

Serie A ditangguhkan pada bulanlalu ekoran coronavirus dan Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) telah mendedahkan musim 2019-20 tidak akan disambung sehingga keselamatan dan kesihatan terjamin.

Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora, berharap semua pasukan dapat kembali menjalani latihan pada 4 Mei depan memandangkan tempoh larangan dan kawalan pergerakan ketika ini akan tamat pada 3 Mei nanti.

Pihak FIGC berkata saingan musim ini akan dilanjutkan sehingga 2 Ogos depan, memberikan lebih banyak masa untuk kelab menghabiskan baki pertandingan.

Juventus kini satu mata mengatasi Lazio di puncak liga selepas 26 perlawanan sebelum saingan ditangguhkan.