Sarawak terpaksa membentuk pasukan baharu selepas hanya lima pemain musim lalu yang dikekalkan bagi memperkuat pasukan Piala Belianya.

Ketua jurulatihnya, Safri Amit, berkata ketika ini proses pemilihan pemain sedang rancak berjalan dan senarai akhir pemain hanya akan diputuskan selepas 2 Januari.

"Kami membuat pemilihan secara tertutup dengan memanggil pemain-pemain berbakat dalam pelbagai kejohanan yang dilangsungkan di seluruh Sarawak untuk diuji.

"Antaranya termasuklah pemain-pemain yang pernah beraksi untuk Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Piala Belia 2016 dan juga Kejohanan Bola Sepak Piala Belia Sarawak di Bintulu baru-baru ini," katanya.

Safri, yang bertindak sebagai pembantu jurulatih untuk skuad Piala Presiden pada musim lalu, menambah Sarawak telah memanggil pulang tiga pemainnya yang beraksi untuk Melaka, PDRM dan Pahang untuk mengharungi saingan tahun depan.

"Ini berita yang amat baik kerana ini bermakna kami akan disertai beberapa pemain yang sudah berpengalaman bermain di luar.

"Pada masa yang sama, kami turut menyerapkan 19 pemain yang sebelum ini menjalani latihan di Sekolah Sukan SMK Tabuan Jaya."

Oleh itu, katanya, beliau berharap pemain akan dapat menunjukkan kebolehan masing-masing, seterusnya memperkukuh pasukan baharu itu kelak.

Safri kehilangan ramai pemain pada musim ini berikutan sebahagian besar daripada mereka telah diserap ke dalam pasukan Piala Presiden 2017.

"Ini berikutan penyerapan kebanyakan pemain Piala Presiden ke dalam skuad senior Liga Super,” katanya.

Bagi Safri, ia bukan halangan yang besar kerana memang menjadi tanggungjawab jurulatih untuk pasukan di peringkat umur mencungkil bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan.

“Peranan kami adalah untuk mempersiap dan mematangkan pemain-pemain muda ini untuk diserapkan ke dalam skuad yang lebih senior."

Enggan menetapkan sebarang sasaran besar pada musim ini, Safri berharap dapat membentuk pasukan yang mantap dan memiliki persefahaman yang baik.

“Saya percaya gabungan pemain baharu dan lama ini akan mampu memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan lain dalam saingan musim baharu ini.

“Untuk itu, saya bercadang untuk membawa pasukan ini mengadakan jelajah pra-musim di Kuala Lumpur pada hujung Januari ini bagi menguji keserasian dan persediaan mereka,” katanya lagi.

Kempen Piala Belia 2017 dijangka bermula pada 10 Februari depan.