Skuad bola sepak negara masih berdepan kemungkinan perlu terbang ke Pyongyang untuk menghadapi Korea Utara dalam kelayakan Piala Asia 2019, dengan perlawanan dijangka berlangsung 9 atau 10 November depan.

Ini berikutan Persatuan Bolasepak Korea Utara membantah alasan keselamatan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan mahu aksi kedua-dua pasukan yang sepatutnya pada 5 Oktober ini terus kekal di Pyongyang.

Situasi itu bermakna Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang dianggotai 17 negara menjadi penentu sama ada perlawanan itu kekal di Pyongyang atau gelanggang berkecuali.

Jawatankuasa itu bakal bersidang selepas perlawanan di antara Hong Kong dan Malaysia pada 10 Oktober ini, dengan Malaysia diwakili Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul, berkata pihaknya harus mendapatkan penilaian daripada agensi bebas, sama seperti ketika menangguhkan perlawanan buat kali kedua sebelum ini.

"Apabila sudah mengumpul segala fakta dan maklumat seperti surat daripada FAM dan sebagainya, keputusan akan dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan AFC," katanya.

Tambah Windsor, dia berharap tiada lagi penangguhan akan berlaku kerana ia bukan sahaja menjejaskan imej penganjuran Piala Asia, malah semangat kesukanan dalam komuniti Asia.

"Ia merupakan satu situasi yang kurang realistik dalam kumpulan ini kerana ada pasukan yang telah bermain lebih atau kurang perlawanan, jadi ia tidak adil.

"Jadi, jawatankuasa pertandingan perlu mengambil keputusan untuk menghabiskan semua perlawanan pada November."

Pada 28 September lalu, Kementerian Luar Negara telah melarang rakyat Malaysia ke Korea Utara berikutan ketegangan memuncak di Semenanjung Korea berhubung siri ujian peluru berpandu daripada negara itu.