Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, tidak mahu tunduk dengan kekangan besar yang dialaminya, malah kehadiran ramai muka baru dianggap sebagai senjata rahsia yang tidak dapat dijangka pihak lawan dalam saingan Piala AFF Suzuki, dari 19 November-17 Disember ini.

Kim Swee memiliki peluang cerah untuk mencipta sejarah biarpun ketiadaan nama-nama gah seperti Safiq Rahim, S. Kunalan mahupun Aidil Zafuan Abdul Razak seolah-olah merentap kudrat Malaysia dalam kejohanan itu.

Benar, Kim Swee perlu berasa gusar dengan ketiadaan tonggak utama, bagaimanapun, ia tidak bermakna peluang skuad negara sudah tertutup hanya disebabkan ketiadaan pemain-pemain itu.

Nama-nama seperti Hadin Azman dan Safawi Rasid diramal mampu memberikan wajah baru buat skuad negara, ditambah dengan kelibat pemain berpengalaman seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Amri Yahyah, Malaysia sebenarnya cukup sempurna ramuannya.

“Pemain-pemain baru ini memiliki kualiti yang tersendiri. Saya percaya mereka mampu bermain di pentas antarabangsa, sekali gus mencipta kejayaan,” kata Kim Swee.

Dengan apa yang dimiliki ketika ini, sasaran pentas final masih relevan andai setiap pemain mampu berjuang 100 peratus demi negara tanpa ada pengaruh lain.

Ini bukan kali pertama skuad negara dibarisi muka-muka baru dalam saingan Piala AFF Suzuki, dengan tahun 2010 menyaksikan gandingan pemain baru dan lama berjaya meraih kejuaraan tunggal skuad negara.

“Pemain-pemain lebih arif antara satu sama lain, ini merupakan petanda baik dan berharap ia akan berlarutan,” katanya.