MALAYSIA 3 MALDIVES 0

Skuad bola sepak senior kebangsaan kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Maldives 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Tiga gol yang disumbangkan Zaquan Adha Abd Radzak, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh sudah cukup memberikan kemenangan moral buat skuad negara dalam menghadapi saingan Piala AFF yang akan berlangsung dalam tempoh seminggu lagi.

Malaysia sebelum ini melewati dua kemenangan dalam aksi persahabatan, bermula dengan menewaskan Kemboja pada awal September sebelum meraih kemenangan 4-1 ke atas Sri Lanka, bulan lalu.

Namun, skuad negara tewas tipis 0-1 kepada Kyrgyzstan, dua minggu lalu.

Aksi di Stadium Nasional juga menyaksikan kebangkitan daripada penyerang veteran negara, Zaquan, yang sebelum ini dikritik hebat ekoran prestasi hambar di peringkat antarabangsa.

Namun, kritikan tersebut dibalasnya dengan jaringan menarik selepas menyudahkan hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-16.

Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, melakukan keputusan tepat dengan memasukkan Safawi dan Ahmad Hazwan Bakri dalam babak kedua yang jelas memberikan suntikan di bahagian serangan pasukan.

Menerusi situasi kelam-kabut di depan gawang lawan, Safawi melakukan sepakan dari sudut tinggi melepasi aras kepalanya sebelum menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-81.

Sumareh terus mencetus sensasi dalam kem bola sepak kebangsaan selepas gerakan solo menariknya dalam masa kecederaan berjaya menghasilkan gol ketiga negara menjelang masa penuh perlawanan.