MALAYSIA 3 TIMOR-LESTE 1

Skuad muda negara menepati ramalan dengan melakar kemenangan 3-1 ke atas Timor-Leste dalam perlawanan pertama Kumpulan F, kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Stadium Paju, Korea Selatan, sebentar tadi.


Tiada sebarang gol buat kedua-dua pasukan dalam separuh masa pertama, sebaliknya pasukan bimbingan Bojan Hodak itu tampil lebih kemas pada babak berikutnya dengan merobek gawang lawan dengan tiga gol.

Kem negara cemas pada mint ke-25 menerusi sepakan voley Yohanes, namun mujur sepakannya sedikit melewati tiang gol.

Tidak lama selepas itu, Akhyar Rashid terlepas peluang untuk membuka tirai jaringan apabila sepakan jarak dekatnya singgah di badan penjaga gol Timor-Leste, Fran Genio.

Malaysia, yang sekurang-kurangnya mahu menamatkan kempen kelayakan di tempat kedua, membuka koleksi gol menerusi Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Pemain kelahiran Perak itu menanduk masuk daripada sepakan percuma pada minit ke-52, dan jaringan itu turut mencetuskan semangat pemain lawan yang melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah kubu Malaysia.

Bagaimanapun, penyerang muda dari Kelantan, Nik Akif Syahiran, muncul menambah kekecewaan Timor-Leste menerusi rembatan lambung dari luar kawasan penalti pada minit ke-66.

Sebelas minit kemudian, Zhafir Yusoff, salah seorang daripada tiga pemain -- bersama K. Thivandaran dan Al Imran Abdul Halim -- yang baru diserapkan ke dalam pasukan, membuktikan penampilannya bermakna dalam skuad Hodak.

Dia yang turun selaku pemain gantian melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk meletakkan Malaysia di kedudukan selesa.

Usaha Timor-Leste akhirnya berhasil selepas dihadiahkan sepakan penalti akibat bola terkena tangan pemain Malaysia pada hujung perlawanan.

Junior yang mengambil sepakan itu tidak berdepan sebarang masalah untuk lawan mencuri satu gol.

Selepas ini, skuad B-19 negara akan berdepan Brunei dalam perlawanan kedua pada Sabtu ini, jam 11 pagi.