"Beri kami pendedahan dan struktur pembangunan mantap. Saya yakin kami akan dapat buktikan sesuatu".

Ini ungkapan Fadathul Najwa Nur Farah Ain Azmi, pemain bola sepak wanita Perak dan kebangsaan, bila ditanya tentang perkembangan sukan ini ketika sesi pemilihan pemain negeri di Ipoh.

"Kini perlu ada pertandingan kompetitif di peringkat akar umbi supaya dapat menarik minat wanita menceburi sukan ini.

"Saya minat bola sepak sejak dari kecil lagi dan pasti ada rakan wanita seperti saya. Jiwa kami segagah lelaki apabila berbicara mengenai sukan ini," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mariam Mohd Mydin, turut gembira kerana bola sepak wanita kini mula diterima sebagai satu cabang sukan sihat.

"Dulu di Malaysia, wanita dan bola sepak semacam asing, tapi Alhamdulillah ia secara perlahan-lahan diterima," ujarnya ketika mengimbau persepsi masyarakat terhadap wanita dan sukan ini.

Mariam adalah pemain skuad gangsa bola sepak wanita Malaysia di Sukan SEA 1983.