MALAYSIA 1 AUSTRALIA 1

Skuad B-23 tahun negara bangkit pada saat-saat akhir untuk mengikat Australia 1-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.


Brandon Wilson membuka jaringan pada minit ke-50 buat Australia sebelum Malaysia memastikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri apabila Nik Azli Nik Alias menyamakan kedudukan pada penghujung permainan.

Kedua-dua pasukan menggunakan aksi di Stadium Shah Alam sebagai medan persiapan terakhir untuk menghadapi saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23.

Australia melakukan beberapa percubaan untuk menjaringkan gol, namun gagal menyempurnakan peluang sementara beberapa kesilapan penjaga gol, Haziq Nadzli, hampir menghukum Malaysia.

Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, melakukan rombakan pemain dalam babak kedua yang menyaksikan pendekatan berbeza -- aksi lebih agresif dipamerkan sejak awal permainan apabila gerakan solo daripada Faisal Abdul Halim hampir meletakkan Malaysia di depan tetapipercubaannya dihalang pertahanan Australia.

Australia mendahului perlawanan menerusi tandukan Wilson selepas menyempurnakan hantaran Reno Piscopo daripada sepakan sudut.

Anak buah Kim Swee berusaha untuk bangkit dengan meningkatkan tempo permainan dan sempat menyaksikan gerakan yang dilakukan oleh Nik Akif Syahiran Nik Mat dari sayap kiri gagal disempurnakan oleh Daniel Haqim Draman apabila percubaannya melewati palang gol.

Kesungguhan yang dipamerkan oleh Faisal menjadi nadi skuad negara untuk mencari gol penyamaan sehingga penghujung permainan apabila Nik Azli Nik Alias bijak mencari ruang sebelum merembat masuk gol menewaskan penjaga gol, Daniel Margush, pada masa kecederaan.

Ini merupakan persiapan terakhir skuad B-23 negara sebelum menghadapi saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 berdepan Filipina di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

"Ini satu keputusan yang baik sebelum kami memulakan kempen kelayakan Kumpulan J, Kejohanan AFC B-23.

"Tetapi daripada segi prestasi pasukan, masih banyak kekurangan.

"Kami tidak dapat keluar daripada situasi sukar dan ini menyukarkan kami untuk bermain seperti biasa," kata jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee.

Ditanya persembahan hambar beberapa tonggak utamanya, Kim Swee mengulas: "Ini kerana mereka baru menyertai skuad B-23 buat kali pertama.

"Mereka memerlukan persefahaman dan kombinasi tertentu.

"Saya yakin selepas dua perlawanan awal kelayakan Kejohanan AFC B-23 bertemu Filipina dan Laos, gandingan pemain akan menjadi lebih baik sebelum kami menghadapi China."