Pasukan bawah 23 tahun negara mengikat Mokpo City FC 1-1 dalam perlawanan persahabatan pertama di Pusat Bola Sepak Antarabangsa Mokpo, Korea Selatan, hari ini.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu memulakan perlawanan dengan baik dan memperoleh jaringan pembukaan menerusi Mohamed Syamer Kutty Abba pada minit ke-39.

Harapan mereka untuk memenangi aksi tersebut tidak kesampaian apabila lawan menyamakan kedudukan hasil jaringan Kim Sangwook pada minit ke-70.

Seramai 26 pemain skuad muda negara sedang menjalani kem latihan pusat di sana sebagai persiapan menghadapi pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di Jiangsu, China dari 9 hingga 27 Januari ini.

Dalam aksi persabahatan di dalam negara sebelum ini, skuad B-23 itu menewaskan PJ Rangers 8-2 pada 9 Disember dan mengikat Melaka United 0-0 Khamis lalu.