Pengurus skuad B-23 negara, Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengesahkan skuad muda negara akan mengharungi enam perlawanan persahabatan sepanjang kem latihan pusat pada hujung tahun ini, termasuk di Korea Selatan dan China, untuk menghadapi Kejohanan AFC B-23 di China, Januari depan.

Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendedahkan skuad B-23 negara akan berguru di dua negara berkenaan sebagai rangka persiapan menghadapi kejohanan di China itu nanti.

Namun, sebelum berkelana ke dua negara itu, skuad muda negara akan mengadakan kem latihan pusat tempatan selama 20 hari di Johor Bahru dengan dua perlawanan persahabatan dijadualkan pada 9 dan 14 Disember depan.

Lebih menarik, dalam kunjungan di Mokpo, Korea Selatan, bermula 17 Disember nanti, skuad B-23 negara dijadual bertemu pasukan B-23 Korea, sekaligus bakal menjadikan persediaan paling mantap buat anak buah Datuk Ong Kim Swee.

"Saingan di China bukan mudah buat skuad B-23 negara, dengan itu kami perlu membuat persiapan yang mantap sebelum ke sana nanti," kata Yusoff.

Malah, Yusoff optimis tiada lagi isu berbangkit seperti masalah pelepasan pemain akan berlaku untuk panggilan kali ini.

"Pada bulan depan, banyak pasukan (Liga Malaysia) akan membuat persediaan pra-musim dan saya percaya mereka akan memberikan kerjasama yng jitu untuk kami mengadakan persiapan sebelum ke China," tambahnya.