Penyerang skuad B-19 negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, percaya barisan muda negara berada di landasan tepat untuk membentuk barisan ampuh menjelang kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Korea Selatan, hujung bulan ini.

Keyakinan penyerang muda Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu berlandaskan aksi yang dipamerkan barisan muda negara dalam dua aksi persahabatan, baru-baru ini.

Skuad B-19 negara berjaya menewaskan pasukan Liga Perdana, MISC-MIFA, 3-2 sebelum seri 0-0 dengan UiTM FC dalam aksi ujian, Sabtu lalu.

"Saya semakin selesa dan yakin untuk mengikuti arahan jurulatih.

"Persefahaman kami semakin bagus. Saya yakin kami sudah bersedia dan akan memberikan yang terbaik untuk layak ke pusingan kedua," ujarnya.

Dalam masa sama, pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, turut berpuas hati dengan persiapan pasukannya.

Hodak akan menggunakan baki dua aksi persahabatan yang diatur sebelum menentukan barisan akhir yang akan membawa cabaran negara di Korea Selatan nanti.

"Saya akan menamakan 23 pemain yang akan dibawa ke sana dan dengan itu, saya perlu menggugurkan tiga pemain yang bersama skuad ketika ini.

"Kami akan menggunakan kesempatan ini untuk membentuk persefahaman.

"Ini kerana semasa menghadapi Kejohanan AFF B-18 di Myanmar (bulan lalu), kami hanya mempunyai tempoh dua minggu untuk membentuk skuad ini dan ada dalam kalangan pemain yang baru pertama kali digandingkan bersama.

"Kini, saya sudah mempunyai tonggak utama berdasarkan kejohanan di Myanmar yang lalu dan saya tidak mahu melakukan terlalu banyak pertukaran.

"Saya mahu mereka lebih mengenali corak permainan masing-masing. Cara untuk melakukannya adalah melalui perlawanan ujian yang sukar seperti ini," kata pengendali dari Croatia itu.