Kejayaan skuad muda Perak mara ke peringkat suku akhir Piala Belia musim ini memberi harapan bahawa persediaan akar umbi The Bos Gaurus berada di landasan tepat.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, melahirkan rasa bangga dengan bakat yang berjaya digilap melalui kejohanan ini.

"Perak mempunyai barisan pemain muda yang baik dan berfungsi sebagai barisan pasukan pelapis masa hadapan. Saya ucapkan tahniah kepada semua yang terlibat, terutama kesungguhan para pegawai dan pemain.

"Semestinya untuk pertemuan suku akhir nanti, saya berharap perjuangan dapat diteruskan. Kalau mempamerkan semangat dan berikrar untuk mengharumkan nama negeri, saya yakin kami mampu layak sehingga ke perlawanan akhir," katanya.

Skuad B-19 Perak akan menentang skuad B-19 Kedah dalam suku akhir Piala Belia di Tanjong Malim, 10 September ini.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.