Skuad B-19 tahun negara menghadapi kelayakan Kejohanan AFC B-19 dengan impian mahu mengulangi kejayaan pasukan B-22 yang mengetepikan Indonesia untuk ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23, apabila berdepan negara jiran itu.

Tuan rumah, Korea Selatan, dilihat sebagai pasukan pilihan utama dalam saingan kelayakan Kumpulan F itu yang akan bermula di Paju, esok .

Sementara itu, Indonesia dijangka bersaing dengan Malaysia, untuk merebut dua tempat teratas kumpulan bagi ke pusingan akhir.

Namun, penyerang pasukan, Hadi Fayyad, yakin dengan kemampuan pasukannya apabila berdepan Indonesia.

"Saya yakin dan pasti pasukan saya akan melakukan dengan terbaik. Saya yakin kami mampu menewaskan Indonesia dan meraih kedudukan kedua dalam kumpulan," katanya sebelum berlepas ke Korea Selatan, semalam.

Keyakinan Hadi adalah berlandaskan persiapan rapi yang sudah dilakukan jurulatih pasukan, Bojan Hodak, untuk saingan kelayakan kali ini.

Nada sama dilontarkan kapten pasukan, Syaiful Alias, yang memberi jaminan dia dan rakan sepasukan akan mengerah segala kudrat bagi memastikan kemaraan ke pusingan akhir.

"Insya-Allah kami boleh lakukan jika mental kuat dan mendengar arahan jurulatih.

"Kami banyak beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Super dan Liga Perdana. Jadi, kami banyak belajar daripada perlawanan tersebut," katanya..

Skuad muda negara akan memulakan saingan dengan menentang Timor Leste, esok.