Skandal pedofil goncang bola sepak England

Oleh Jon Fisher 29 November 2016 9
Skandal pedofil goncang bola sepak England
Chelsea mengumumkan mereka telah membuka siasatan berhubung salah laku membabitkan bekas kakitangannya di Stadmford Bridge. 

Kelab London itu memohon bantuan daripada Persatuan Bola Sepak (FA) England berhubung perkara tersebut yang dikaitkan dengan pembongkaran besar-besaran mengenai penderaan seksual terhadap kanak-kanak dalam sukan di Britain. 

Biarpun mereka tidak mendedahkan apakah bentuk siasatan yang dibuat, Chelsea berkata individu yang menjadi dalang dalam proses itu -- kini terlantar sakit -- bertugas di kelab itu 40 tahun lalu. 

"Kelab Bola Sepak Chelsea menggunakan khidmat sebuah firma undang-undang luar untuk menjalankan siasatan ke atas individu yang pernah diambil bekerja oleh kelab itu sekitar 1970-an," menurut kenyataan itu. 

"Kelab tersebut telah menghubungi FA untuk menawarkan segala bentuk bantuan sebagai sebahagian daripada penyiasatan itu. Ini termasuklah menyalurkan maklumat berkaitan kepada FA. 

"Pihak FA telah membuka talian NSPCC selama 24 jam kepada orang dewasa yang menjadi mangsa penderaan seksual dalam industri bola sepak semasa zaman kanak-kanak.

"Dengan siasatan yang sedang dijalankan, kami tidak akan membuat ulasan lanjut berhubung hal ini."

Perkembangan terbaru skandal itu dianggap Pengerusi FA, Greg Clarke, sebagai salah satu skandal terbesar dalam sejarah organisasi itu. 

Lebih 20 orang bekas pemain mendakwa telah didera semasa kanak-kanak, sehingga mendorong FA menyemak kes itu dengan bantuan undang-undang. 

Bekas jurulatih remaja, Barry Bennell, yang disabitkan dengan aktiviti pedofil telah didakwa melakukannya berulang kali terhadap bekas pemainnya, termasukl 
Andy Woodward dan Steve Walters, berdepan dengan dakwaan lapan kes penderaan seksual ke atas budak lelaki berusia 14 tahun. 

Bennell pernah bertugas sebagai jurulatih di Crewe Alexandra selain bekerjasama dalam pembangunan dengan kelab seperti Stoke City, Manchester City, Derbyshire, Staffordshire, Cheshire dan Greater Manchester pada sekitar 1980 hingga 1990. 

Malah, dia pernah didapati bersalah semasa kem musim panas di Florida, Amerika Syarikat, pada 1994 akibat tabiatnya itu. 

Semalam, Bennell ditemui tidak sedarkan diri di sebuah bilik hotel di Hertfordshire.

Setakat ini, pihak polis sedang giat menjalankan siasatan terhadap kes itu selepas beberapa bekas pemain dari seluruh negara memberi keterangan berhubung kes itu. 



Tentang Penulis

Jon Fisher

Komen