Jerome Boateng menegaskan kepada Bayern Munich untuk mempertingkatkan mutu pertahanan atau bakal "dimusnahkan" oleh Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Juara Bundesliga itu menghuni tangga teratas Bundesliga dengan kelebihan enam mata selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Hannover kelmarin selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam babak pertama.

Arturo Vidal meletakkan Bayern di depan tetapi Hannover menyamakan kedudukan menerusi Charlison Benschop selepas Niclas Fullkrug gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Skuad kendalian Jupp Heynckes itu gagal memecah kebuntuan hingga Kingsley Coman meledak gol pada minit ke-67, disusuli sepakan penalti Robert Lewandowski di penghujung permainan memastikan tiga mata diraih.

Bayern akan menerima kunjungan PSG bagi aksi terakhir peringkat kumpulan UCL pada Rabu ini dan mahu membalas dendam apabila tewas 3-0 di Perancis sebelum ini, tetapi Boateng bimbang nasib yang sama akan menimpa mereka jika mengulangi persembahan yang sama ketika bertemu Hannover.

"Kami tidak bertahan dengan baik selepas kehilangan bola dan memberikan banyak ruang kepada Hannover, terutama sekali dalam babak pertama.

"Permainan kami lebih teratur dalam babak kedua tetapi jika kami bermain seperti ini, mereka akan memusnahkan kami," katanya.

Bayern perlu menang 4-0 di Allianz Arena untuk memintas PSG dan menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan B.

Skuad bimbingan Unai Emery itu tewas pertama kali musim ini kelmarin apabila mereka dikejutkan oleh Strasbourg 2-1 dalam saingan Ligue 1.