TOTTENHAM 1 INTER 0

Mauricio Pochettino memuji sumbangan Moussa Sissoko tatkala Tottenham menyalakan kembali peluang mereka untuk mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas Inter Milan di Wembley, awal pagi tadi.


Spurs di ambang penyingkiran dalam 10 minit terakhir perlawanan Kumpulan B itu biarpun saingan peringkat kumpulan masih berbaki satu perlawanan.

Namun, larian deras Sissoko membuka ruang kepada Christian Eriksen untuk melakukan tindakan penyudah bagi meletakkan skuad bimbingan Pochettino itu di tangga kedua.

Spurs akan bertandang ke gelanggang pendahulu kumpulan, Barcelona -- yang sudah pun layak ke peringkat kalah mati -- dalam masa dua minggu lagi, dengan kemenangan akan menyaksikan mereka mengiringi pasukan asuhan Ernesto Valverde itu dalam pusingan berikutnya.

Aksi Sissoko terumbang-ambing sejak bergabung dengan kelab itu dari Newcastle United pada 2016, namun peranan yang dimainkannya dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini mendorongnya diangkat sebagai salah seorang pahlawan oleh peminat Spurs.

Dia sekali lagi menyerlahkan aksi bertenaga ketika berdepan Inter Milan hingga Pochettino mendedahkan pemain Perancis itu sedang menikmati peranan barunya.

"Rakan sepasukannya sangat gembira kerana peminat kini mula meminatinya," katanya kepada BT Sport.

"Moussa melalui tempoh yang sukar tetapi saya masih ingat ada suatu hari, saya memeluknya ketika dia dikeluarkan dan saya memberitahunya bahawa dia akan berjaya di sini.

"Dia mula berasa bebas dan hari ini dia sekali lagi menjadi kunci utama kami, bahagian utama kejayaan ini."

Tottenham akan berdepan Barca dalam tempoh dua minggu lagi sambil menyedari bahawa mereka perlu mengatasi keputusan Inter menentang PSV.

Pochettino, bagaimanapun, tetap yakin dapat melaksanakan tugas itu.

"Segalanya berkemungkinan," katanya. "Saya tidak pernah mengatakan ia adalah misi yang mustahil. Dalam bola sepak, apa-apa pun boleh berlaku -- anda perlu percaya. Sukar (untuk menang di Barcelona) tetapi keyakinan itu sangat penting."

Sementara itu, pengurus Inter, Luciano Spalletti, kecewa dengan ketidakupayaan pasukannya untuk berpegang teguh kepada misi mereka dalam memastikan kemaraan ke peringkat kalah mati.

"Kami melakukan apa yang dirancangkan selain beberapa detik goyah dalam permainan kami," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Kami sangat kecewa dengan keputusan ini. Kami akan turun dalam perlawanan seterusnya dan lihat apa yang berlaku.

"Saya fikir kami sedang berkembang dan tidak memanfaatkan sebahagian besar peluang untuk mencetak gol, kemudian tumpuan kami sedikit terganggu sehingga tiada pemain yang sempat memintas hantaran yang menjadi jaringan itu.

"Tottenham mempunyai kekuatan fizikal, mereka selalu membuat anda tertekan sepanjang perlawanan dan kami dua kali terperangkap dengan gerakan Sissoko."