Siri Super Akhir: V Shem-Wee Kiong lepasi saat sukar

Oleh Staff Writer 15 Disember 2016 0
Siri Super Akhir: V Shem-Wee Kiong lepasi saat sukar
Beregu nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, mempamerkan aksi menakjubkan untuk menewaskan pasangan meningkat naik China, Li Yunhui-Liu Yu Chen, 18-21, 21-19, 21-19, sekali gus menempah slot ke separuh akhir Siri Super Akhir di Dubai, hari ini. 

Ini adalah aksi pertama V Shem dan Wee Kiong di Dubai susulan kemenangan percuma ke atas pasangan Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen, yang menarik diri ekoran masalah kesihatan, semalam.

Yu Chen dan Yunhui pula sebelum ini sudah beraksi dan tewas kepada pasangan senior mereka, Chiao Biao dan Hong Wei, tetapi memiliki elemen keserasian di dalam gelanggang.

Kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya Yu Chen dan Yunhui yang menangani setiap asakan V Shem dan Wee Kiong untuk menang set pertama, 21-18.

Enggan berputih mata begitu sahaja, V Shem dan Wee Kiong kembali bangkit dalam set berikutnya meskipun diasak hebat Yu Chen dan Yunhui untuk menang, 21-19.

Aksi dalam set ketiga nyata mendebarkan apabila gandingan negara itu ketinggalan sehinggalah kedudukan 12-12 sebelum sekali lagi terikat 19-19.

V Shem dan Wee Kiong, bagaimanapun, berjaya mengelak episod duka apabila menjelmakan aksi lebih kemas untuk memenangi dua mata terakhir, 21-19.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen