"Menyingkirkan Nelo Vingada bukan penyelesaian terbaik buat skuad negara," demikian pandangan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, yang kurang bersetuju dengan desakan menyingkirkan pengendali kebangsaan dari Portugal itu.

Bagi Sathianathan, dia berharap peminat tempatan mampu bersabar dan memberi peluang buat Vingada membentuk semula barisan negara bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2018.

Namun, bekas jurulatih kebangsaan itu juga berasa salah satu faktor aksi hambar skuad negara kebelakangan ini adalah kerana Vingada belum cukup memahami pemain tempatan.

"Pemain terbaik dalam liga mesti bermain untuk skuad kebangsaan. Itu sahaja. Walaupun kita tidak boleh pergi jauh, buat masa ini kita perlu kekalkan pemain-pemain dan lihat pencapaian dalam (Piala Suzuki) AFF nanti.

"Saya fikir Vingada akan lebih bijak dan dia akan tahu kemampuan pemain kita. Hanya melihat dalam Liga Super dan Piala Malaysia tidak mencukupi," katanya.

Sathianathan juga berasa cadangan membentuk skuad kebangsaan hanya dalam kalangan pemain bawah 19 dan 22 tahun juga tidak akan memberi kesan positif.

Ia kerana apabila skuad negara gagal, ia mungkin memberi kesan kepada pemain muda terbabit.

"Penyelesaian jangka pendek dengan membawa pemain bawah 23 tahun ke dalam skuad kebangsaan pun tidak boleh. Ia kerana apa yang kita lihat ketika menentang Korea Utara, mereka tidak mampu.

"Kalau terlalu cepat untuk kita mendedahkan pemain ini ke peringkat antarbangsa, orang mencaci mereka, mereka hilang keyakinan," katanya.

Malaysia tewas dua kali dengan keputusan 1-4 kepada Korea Utara dan berada di tangga tercorot Kumpulan B, sekali gus menamatkan perjuangan skuad negara yang digelar akhbar Kosmo sebagai 'Sotong Malaya' untuk memburu tempat dalam Piala Asia 2019.

"Secara objektif, tidak seperti beberapa jurulatih yang dilantik terdahulu, mereka diberi ruang untuk belajar," kata pemerhati bola sepak tempatan, Rizal Hashim, dalam program Formasi hari ini.

"Tetapi Vingada, dia perlu menyiapkan pasukan untuk menentang skuad yang berada di ranking yang lebih tinggi.

"Itu sebenarnya satu tekanan yang besar. Termasuk dengan pemain yang boleh bermain tetapi tidak dapat beraksi, yang tidak boleh diturunkan akibat menerima kecaman, jadi itu semua mewujudkan polemik yang tidak harmoni dalam pasukan," tambahnya.

Sementara itu, Hasnizam Uzir, dalam program yang sama berkata: "Budaya bola sepak di Malaysia berbeza. Apa yang kita dapat lihat, Vingada memerlukan masa dengan corak yang diterapkan kerana ketika ini kita tiada falsafah bola sepak yang serasi di peringkat akar umbi untuk dibawa ke peringkat tertinggi.

"Ia sukar kerana setiap negeri bermain dengan cara mereka sendiri, terutama di peringkat umur. Apa yang kita dapat lihat, corak Vingada ini, hantaran-hantaran pendek dilakukan. Pertukaran pemain dilakukan. Ia memerlukan masa sebenarnya."