ATLETICO 0 LEVANTE 2

Diego Simeone enggan mencipta sebarang alasan selepas Atletico Madrid tewas 0-2 kepada Levante melainkan menggesa pasukannya agar menebus kekalahan pertama di laman sendiri itu sejak Disember 2019.


Atleti sepatutnya mampu selesa di puncak LaLiga dengan sembilan mata sekiranya mengekalkan prestasi hebat, namun rekod kebal 22 perlawanan di Wanda Metropolitano akhirnya berkecai tengah malam tadi.

Serangan Jose Luis Morales dalam separuh masa pertama meletakkan Levante di depan sebelum Jorge de Frutos melengkapkan kemenangan mengejut pelawat pada penghujung perlawanan apabila dengan mudah meletakkan bola dari jarak jauh ke pintu gawang yang kosong selepas Jan Oblak cuba membantu serangan.

Real Madrid kemudian mengurangkan kelebihan seteru kota mereka itu dengan hanya tiga mata sambil memiliki kelebihan perlawanan di tangan selepas menang tipis 1-0 Real Valladolid, awal pagi tadi.

Atleti hanya mampu seri 1-1 di Levante tiga hari lalu dan terus dihantui lawan yang sama yang menyaksikan sepakan percuma Luis Suarez menggegar tiang sementara jaringan Lucas Torreira pula dibatalkan.

Simeone tidak perlu menekan butang panik selepas menyaksikan pasukannya menempa kekalahan kedua LaLiga musim ini.



Pengurus Atleti itu berkata: "Saya tidak mencari sebarang alasan. Pengurus seharusnya mencari jalan keluar. Dalam separuh masa kedua, kami berjaya melakukannya dan kamilah pihak yang bertanggungjawab membantu pemain.

"Mana-mana pertandingan pun tetap serupa, setiap pasukan akan mengalami saat-saat sukar. Mereka yang kekal utuh pada detik yang buruk adalah orang yang mampu mencapai matlamat mereka."

Bekas pemain tengah Argentina itu menambah: "Apabila anda memburu gol, adalah mustahak untuk memasukkan bola ke dalam gawang. Ia begitu indah.

"Akan ada halangannya. Adalah logik untuk menempuhi halangan itu dan apabila jaringan terhasil, anda pasti akan lebih menikmatinya."

Moussa Dembele membawa khabar positif apabila membuat kemunculan pertama dari bangku simpanan sementara Thomas Lemar kembali pulih daripada COVID-19.

Bagaimanapun, Jose Gimenez terpaksa dikeluarkan ekoran kebimbangan kecederaan otot, tiga hari sebelum Atleti menghadapi Chelsea dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).