LEVANTE 0 ATLETICO MADRID 1

Diego Simeone berharap Marcos Llorente akan terus mengekalkan aksi hebatnya setelah sekali lagi memainkan peranan utama buat Atletico Madrid dalam pertembungan LaLiga, awal pagi tadi.


Llorente ditandatangani daripada musuh setempat, Real Madrid, sebagai pemain tengah bertahan tetapi menyesuaikan diri dengan peranan yang lebih ke hadapan dalam babak kedua musim 2019-20.

Pemain berusia 25 tahun itu merakam dua gol ketika menyingkirkan juara bertahan Liga Juara-Juara (UCL), Liverpool, di tempat lawan dan terus cemerlang sejak saingan LaLiga kembali ekoran dilanda wabak COVID-19.

Llorente menjadi titik tolak kepada kemenangan Atleti -- menerusi gol sendiri Bruno Gonzalez pada awal permainan -- kejayaan ketiga berturut-turut mereka untuk menguasai kedudukan ketiga.

Simeone percaya Llorente mula memperoleh ganjaran atas kerja kerasnya itu biarpun pada awalnya kurang menyerlah ketika mengharungi pembukaan kempen yang sukar.

"Biar fakta bercakap untuk diri mereka sendiri," kata Simeone.

"Tidak perlu memuji (Llorente) kerana anda boleh melihat pergerakan, sikap, tekanan dan melihat apa yang sedang terjadi kepadanya.

"Mudah-mudahan dia dapat mengekalkan keamatan ini kerana dia bekerja keras. Dia banyak menderita kerana kurang diberi peluang sejak tiba di sini.

"Setelah melihat kegigihannya dalam latihan, kami meletakkannya lebih berperanan di bahagian serangan ketika berdepan The Reds dan kami menemui cirinya yang lebih berbeza berbanding barisan penyerang seperti Angel Correa, Joao Felix, Diego Costa dan Alvaro Morata.

"Dia menawarkannya kami seorang pemain penting dalam pasukan ini."




Tatkala fokus media terarah kepada Llorente, Simeone menambah: "Dia menciptakan situasi ini setelah banyak usaha.

"Dia sering berlatih dengan baik, tanpa membantah atau bersikap buruk meskipun sering diketepikan. Pada akhirnya, orang yang bekerja keras akan selalu dihargai."

Sementara itu, kemenangan menentang Levante membawa makna tersendiri buat pengurus berbangsa Argentina itu dengan meraih kemenangannya yang ke-194 dalam LaLiga untuk menyamai rekod mendiang Luis Aragones.

Menurut lagi: "Saya tidak pernah terlintas untuk bersaing dengan Luis.

"Adalah penting untuk menang. Dalam lima perlawanan terakhir, tiga daripadanya menerusi kejayaan di tempat lawan dan seri sekali. Kami mula mengubah situasi yang menjejaskan kami sebelum ini."