Diego Simeone memberi sokongan kepada skuad Atletico Madrid berikutan prestasi buruk yang menyaksikan kejatuhan kelab ibu kota itu dalam perlumbaan merebut gelaran LaLiga.

Atletico tewas tiga daripada empat perlawanan terakhir liga, termasuk tunduk 3-0 di tangan pesaing setempatnya, Real Madrid, di Vicente Calderon minggu lalu.

Penghinaan itu -- hasil hatrik Cristiano Ronaldo -- menyaksikan Atletico turun ke tangga keenam, sembilan mata di belakang lawan mereka, yang menduduki tempat teratas.

Sebaliknya, Atletico bolos hanya sekali dalam kemenangan semua empat perlawanan Liga Juara-Juara Eropah, dan Simeone berasakan perlu untuk menyatakan sokongan terhadap pertahanannya yang goyah menjelang kunjungan PSV Eindhoven dalam saingan Kumpulan D di Stadium Vicente Calderon, Madrid, awal pagi esok.

"Kami mempunyai empat pertahanan tengah yang sangat baik -- Lucas (Hernandez), Diego (Godin), (Stefan) Savic dan Jose (Maria Gimenez)," kata jurulatih itu dalam sidang media pra-perlawanan.

"Mereka semua memiliki tahap yang luar biasa. Jose akan bermain esok. Mereka semua pemain yang berbeza, dengan ciri-ciri yang berbeza. Saya sebagai jurulatih akan melihat apa yang terbaik untuk pasukan. Tetapi, ia bukan penilaian kualiti untuk keempat-empat pemain itu.

"Saya percaya bahawa matlamat selalunya datang atas sebab-sebab tertentu, dan anda boleh membacanya sebagai sama ada kolektif atau individu.

"Kami sentiasa mengatakan bahawa ia adalah kolektif, dan dengan cara itu kami akan bekerja dan cuba untuk memperbaiki.

"Daripada lima gol terakhir, empat dilakukan menerusi 'set-piece', dengan satu sepakan percuma dilencongkan melepasi benteng dan tiga penalti. Ia sukar untuk menumpukan perhatian kepada hanya satu perkara, tetapi ia adalah episod yang berbeza.

"Tetapi kami melihat apa yang telah berlaku, untuk mencari penyelesaian yang terbaik buat pasukan, supaya kami kembali ke rentak kemenangan.

"Sekarang adalah Liga Juara-Juara, sudah pasti penting ketika ini untuk mengambil mata dalam pertandingan ini, dan mencari peluang, jika ia baik, menjadi pasukan pertama layak (ke pusingan kalah mati).

"Kami memberi tumpuan kepada PSV, (ingin) mengetahui kesukaran permainan. Kami sentiasa berusaha untuk memperbaiki permainan masa lalu dan memberi tumpuan kepada apa yang akan datang.

"Selama lima tahun, kami telah bermain untuk menang dan dengan bakat yang kami ada, itu semua saya hargai.

"Apabila pasukan menang, orang bercakap dengan baik, dan apabila mereka kalah, orang bercakap buruk mengenainya. Saya dibayar untuk membuat pasukan menang, jadi itulah yang saya akan cuba lakukan."