SEVILLA 1 ATLETICO MADRID 1

Diego Simeone tetap percaya kepada kemapuan Diego Costa biarpun penyerang itu gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Atletico Madrid terikat 1-1 dengan Sevilla dalam perlawanan LaLiga di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan awal pagi tadi.


Atletico bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 1-1 hasil kerja keras Costa yang dimasukkan dalam babak kedua.

Bekas bintang Chelsea itu menemui jaringan, namun golnya dibatalkan pengadil sebelum Alvaro Morata menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, Costa mensia-siakan kesempatan untuk meraih kemenangan buat pasukannya, yang turut menguburkan peluang skuad kendalian Simeone itu untuk melonjak ke puncak LaLiga.

Penjaga gol, Tomas Vaclik, menggagalkan sepakan penalti Costa, yang bermakna penyerang itu hanya menjaringkan dua gol dalam kesemua kejohanan musim ini.

Simeone mempertahankan pemainnya itu dengan berkata: "Diego sedang berada dalam keadaan fizikal terbaik, menjaga diri, berlatih dan berusaha. Dia berusaha keras tetapi tidak menemui jaringan.

"Apabila seseorang berusaha seperti Diego, terdapat dua pilihan, sama ada anda bersama Costa atau tidak bersama Costa.

"Jika anda memberikan segala-galanya, anda seperti Costa, saya mempercayainya," katanya.

Sevilla juga berpeluang untuk melonjak ke puncak LaLiga selepas Barcelona ditundukkan Levante dalam perlawanan lebih awal.

Simeone percaya skuad bimbingan Julen Lopetegui itu mampu menjadi ancaman musim ini.

"Saya dapat lihat mereka melakukannya dengan amat baik.

"Mereka sentiasa bersaing dengan amat baik.

"Mereka mempunyai ramai pemain, skuad yang besar dan ia bermakna mereka boleh melakukan perubahan.

"Mereka mempunyai dua pemain tengah yang masih cedera. Fernando tidak beraksi hari ini.

"Jika mereka tekal, mereka akan bersaing," katanya lagi.