Simeone terus beri dorongan buat Lemar di Atletico 

Oleh Shaiful Shamsudin 29 November 2020 18
 Simeone terus beri dorongan buat Lemar di Atletico 
VALENCIA O ATLETICO 1 

Diego Simeone memuji Thomas Lemar atas peningkatan prestasinya bersama Atletico Madrid dalam kemenangan di Valencia biarpun pemain sayap itu sekali lagi gagal menyumbang gol.


Lemar, yang ditandatangani daripada Monaco pada 2018, tidak menyumbat sebarang gol atau bantuan jaringan dalam LaLiga sejak kempen sulungnya yang menghasilkan tiga gol dan tiga lagi bantuan jaringan.

Selepas tidak merakamkan sebarang pencapaian pada musim lalu, edisi 2020-21 terbukti tetap sukar buat pemain antarabangsa Perancis itu.

Namun, ada tanda-tanda kebangkitan dipamerkannya dalam kejayaan 1-0 malam tadi yang menyaksikan Lemar melakukan satu percubaan tepat musim ini sementara empat lagi merupakan percubaan liar yang memaksa Jaume Domenech menyelamatkan pintu golnya dua kali selain mencipta tiga peluang buat rakan sepasukannya -- lebih sekali ganda daripada jumlah kempen musim lalu.

Lemar kemudian digantikan ketika menuju 25 minit masa kecederaan sebelum gol sendiri Toni Lato memihak kepada Atleti, namun Simeone tertarik dengan apa yang dilihatnya.

"Dia beraksi dengan sangat baik, percayalah," kata pengurus kelahiran Argentina itu. 

"Kami tidak mempunyai pemain yang lincah dan mampu merembat deras sepertinya.

"Cuma ia jarang ditonjolkan, mudah-mudahan kami dapat memberikannya keyakinan yang diperlukan kerana dia boleh menawarkan banyak sumbangan."

 

Lemar digantikan dengan bekas pemain tengah Valencia, Geoffrey Kondogbia, sambil Simeone merehatkan Joao Felix dan Yannick Carrasco menjelang pertemuan getir berdepan Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara (UCL), pertengahan minggu depan, manakala Luis Suarez juga mungkin dapat dipertaruhkan sejak penggempur itu dijangkiti COVID-19.

"Mereka sudah lama mengenali saya; perlawanan berlangsung selama 90 minit dan saya membuat lima pertukaran," kata pengurus itu menjelaskan pilihan kesebelasannya. 

"Pemain memberi saya kemungkinan untuk menawarkan minit permainan terbaik buat mereka semua. 

"Saya sangat gembira dengan Lemar yang sudah lama tidak beraksi seperti hari ini."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen