Diego Simeone sedar mengapa Atletico Madrid dikritik hebat selama beberapa minggu ini dan mahukan lebih ketekalan daripada pemainnya.

Atletico terikat 1-1 dengan Valencia dalam perlawanan LaLiga di laman sendiri Sabtu lalu dan ia merupakan keputusan seri keempat daripada lima perlawanan terakhir mereka.

Tiga daripada perlawanan itu berakhir tanpa sebarang jaringan, dengan Diego Costa dan Alvaro Morata gagal menemui sasaran musim ini.

Seorang lagi penyerang, Joao Felix -- yang akan terlepas perlawanan menentang Bayer Leverkusen dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok kerana kecederaan buku lali -- juga masih gagal memenuhi reputasinya dengan tanda harga €126 juta (RM587.4 juta).

Di sebalik ketumpulan penyudah pasukannya, yang meletakkan mereka di tangga kelima LaLiga, Simeone percaya masih ada beberapa perkara positif untuk dikembangkan Atletico.

Ditanya mengenai kritikan yang dihadapi pasukannya selepas rentetan keputusan seri itu, Simeone memberitahu wartawan: "Ia satu pandangan, saya menghormatinya.

"Kami sentiasa bekerja keras, kami berusaha untuk meningkat.

"Pasukan ini tidak tekal, namun kami memiliki beberapa momen terbaik dalam setiap perlawanan, ketika menentang Getafe, Leganes dan Celta Vigo.

"Kami perlu mencari ketekalan dan terus berusaha.

"Morata memiliki peluang, Costa juga.

"Kami kerap mengancam gawang lawan.

"Anda perlu membiasakan diri dengan kemerosotan prestasi," katanya.

Koke telah memulakan kesemua 11 perlawanan musim ini dan bersetuju bahawa pasukan itu akan kembali mendapatkan keputusan yang baik dalam masa terdekat.

"Saya menghormati pandangan semua orang," katanya dalam sidang menjelang perlawanan menentang Leverkusen.

"Saya hanya fokus untuk terus berusaha dan membantu pasukan meraih kemenangan.

"Saya menghormati pandangan terhadap saya dan pasukan ini.

"Saya tidak dapat bersetuju dengan beberapa pandangan itu.

"Kami semua, diri saya, rakan sepasukan saya dan staf kejurulatihan sedang berusaha keras untuk mendapatkan keputusan yang baik.

"Kami mempunyai skuad yang mantap dan tidak lama lagi, kami akan memperoleh keputusan yang baik.

"Kami hanya ketinggalan tiga mata di belakang Barcelona dan terikat mata yang sama dengan Juventus dalam Liga Juara-Juara.

"Ayuh lebih tenang kerana musim baru bermula.

"Kami akan terus berusaha dan keputusan yang positif akan tiba," katanya.