Diego Simeone akan membuat rombakan sempena pertembungan Copa del Rey membabitkan Atletico Madrid dengan Sant Andreu, awal pagi esok, dan berhasrat merehatkan Jan Oblak dan Antoine Griezmann.

Diego Costa, Lucas Hernandez, Koke, Saul Niguez dan Diego Godin juga tidak akan membuat kunjungan untuk aksi pusingan 32 berkenaan apabila Simeone memilih untuk memberi peluang kepada pemain yang jarang beraksi.

Wakil divisyen empat, Sant Andreu, kini menduduki tangga kelima selepas 11 perlawanan, dan kelab yang berpangkalan di Barcelona itu telah mengelakkan kekalahan sejak pertengahan bulan lalu.

Justeru, Simeone sedar pasukannya harus terus fokus untuk mengelak kekalahan pertama.

"Kami akan mengharungi dua perlawanan yang menuntut fokus permainan kami dan saya akan menurunkan pemain yang jarang beraksi," kata Simeone dalam sidang media.

"Perlawanan ini mustahak.

"Kami perlu beraksi seperti mana yang kami mahukan dan saya berharap anak buah saya yang jarang mendapat peluang boleh menampilkan aksi yang baik."