Diego Simeone mempertahankan Joao Felix walaupun sekali lagi menggantikan penggempur itu ketika Atletico Madrid mencatat kemenangan 3-0 ke atas Real Mallorca, awal pagi tadi.

Felix dibawa keluar pada awal babak kedua di Wanda Metropolitano, di mana Alvaro Morata meledakkan dua gol sebelum Koke melengkapkan kemenangan.

Pemain yang hadir daripada Benfica pada musim lalu itu kini telah digantikan 17 daripada 21 penampilan dalam kesebelasan utama.

Namun, pengendali Atletico, Simeone, mempertahankan pemain berusia 20 tahun itu dan tetap yakin dengan kemampuannya.

"Kami yakin dengan kualiti yang dia ada, bakatnya serta cara dia bermain. Kami perlukannya di atas padang," kata Simeone.

"Kami fokus terhadap matlamat pasukan dan tidak mahu menyekat perkembangan individu. Namun, kami lakukannya secara kolektif. Jika kami terhenti terhadap idnvidu, ia merbahaya.

"Felix bermula baik ketika menentang Osasuna, dia meraih aksi yang bagus berdepan Mallorca. Dalam masa sama, dia faham pasukan perlukan perwatakan lain seperti Vitolo yang bekerja keras untuk memberi apa yang skuad perlukan."

Dalam 34 penampilan bagi semua kejohanan musim ini, Felix meledakkan lapan gol dan mencatat tiga bantuan jaringan.

Simeone -- yang mengemudi pasukannya menduduki tangga ketiga LaLiga -- berkata pesanannya untuk pemain muda sangat mudah.

"Saya sentiasa meyakinkan pemain muda di sini bahawa ini adalah pasukan kompetitif dan mereka harus menang," tambahnya.

"Kami juga harus bekerja berdasarkan kesan berlaku untuk meraih kemenangan. Kami tidak terikat dengan sesiapa dan pemahaman terbaik mampu mencetuskan kemaraan pasukan."

Atletico akan menyambung aksi LaLiga menentang Celta Vigo di tempat lawan, Selasa depan.