Pengurus, Diego Simeone, menyangkal cadangan bahawa dia telah kehilangan penguasaan di dalam bilik persalinan Atletico Madrid.

Atleti di tangga keenam LaLiga selepas 14 perlawanan dengan 25 mata -- enam di belakang pendahulu. Barcelona, ​​yang mendahului Real Madrid di tangga kedua menerusi perbezaan gol.

Bagaimanapun, Simeone menafikan bahawa sokongan pemain Atleti terhadapnya semakin pudar berikutan permulaan mengecewakan dalam kempen musim ini.

Pengurus berusia 49 tahun berkenaan menganggap persoalan seperti itu adalah normal sepanjang tempoh kendaliannya dan kelihatan optimis dalam sidang akhbar malam tadi.

"Sepanjang lapan tahun saya di sini, setiap tahun saya sering dikaitkan dengan berita bahawa pemain tidak menyebelahi saya," kata Simeone menjelang pertembungan dengan Villarreal awal pagi esok.

"Spekulasi akan selalu timbul, namun kami terus berkembang dengan kesabaran dan usaha yang banyak.

"Saya fikir setiap tahun kritikan akan sentiasa wujud.

"Tanggungjawab yang dipikul adalah besar. Saya menjadikannya kenyataan dan berkongsinya dengan pemain, kelab dan orang yang bekerja di dalam bilik persalinan.

"Kami semua mempunyai tanggungjawab -- tugas saya adalah penting, saya menjelmakannya dan saya mencari penyelesaian supaya segala-galanya kembali kepada keadaan yang terbaik, iaitu menang. Apabila menang, semuanya kelihatan lebih baik."

Simeone mengakui Atletico kini di tahap tertentu, iaitu dalam musim peralihan, tetapi ia tidak akan mempengaruhi pendekatan hariannya.

Beliau menambah: "Ramai orang yang menganggap perkataan 'peralihan' membawa maksud situasi santai, bagi saya tidak.

"Saya sentiasa membayangkan perkara-perkara positif dan dengan pemain-pemain ini, terdapat situasi yang boleh diperbaiki.

"Matlamat kami adalah untuk bersaing dalam setiap perlawanan. Kami tidak akan berubah. Perkara yang berkaitan realiti akan diambil kira, hari demi hari."

Setelah tewas kepada Barca, minggu lalu , Simeone menggesa pemainnya agar menumpukan perhatian kepada menghambat kedudukan Athletic Bilbao, Real Sociedad dan Sevilla -- yang berada di atas mereka -- dan bukannya menggugat dua pendahulu LaLiga.

"Kami harus melihat pasukan yang paling dekat dengan kami. Ini adalah cara yang terbaik untuk mendekati mereka yang lebih jauh -- yang pertama sekali, mengejar kedudukan pasukan yang paling dekat."