Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, percaya bahawa bintang Barcelona, Lionel Messi, membuktikan dirinya adalah pemain terbaik dunia selepas mengesahkan tempat buat Argentina dalam Piala Dunia 2018.

Argentina berjaya layak ke Russia 2018 selepas menewaskan Ecuador 3-1 dalam aksi terakhir kelayakan Zon Amerika Selatan, menyaksikan ketiga-tiga gol dijaringkan oleh Messi, sekaligus memberikan amaran bahawa dia kini dalam prestasi terbaik menjelang aksi LaLiga menentang Atletico, hari ini.

Simeone yang mendedahkan dirinya sentiasa yakin dengan kemampuan skuad La Albiceleste, turut percaya bahawa aksi yang dipamerkan Messi membezakannya dengan pemain hebat lain seperti Cristiano Ronaldo dan Neymar.

“Sudah pasti saya menyaksikan perlawanan di antara Argentina dan Ecuador dan sentiasa tenang kerana optimis kemenangan akan berpihak kepada mereka walaupun tidak memulakan kempen dengan baik.

“Pemain-pemain Argentina langsung tidak hilang fokus dan Messi menjalankan tanggungjawabnya seperti apa yang diharapkan oleh rakan sepasukan.

“Dia membuktikan kewibawaannya kepada sesiapa yang meragui kemampuannya dan ia amat jelas,” kata Simeone.