Wira kemenangan Atletico Madrid, Diego Godin, mendedahkan bahawa pengendali pasukan, Diego Simeone, mengarahkannya bermain di bahagian depan memandangkan dia sedang mengalami kecederaan sebelum menjaringkan gol kemenangan Atletico dalam aksi LaLiga, awal pagi tadi.

Godin mengalami kecederaan paha ketika cuba menghalang Inaki Williams daripada menjaringkan gol kedua Bilbao selepas Thomas Partey menjaringkan gol penyamaan buat Atletico.

Simeone yang telah menggunakan ketiga-tiga pertukaran pemain mengarahkan pertahanan berusia 32 tahun itu beraksi di bahagian serangan sepanjang baki aksi.

Keputusan itu membuahkan hasil apabila Godin yang diberikan lilitan kapten menjaringkan gol kemenangan dalam masa kecederaan selepas Rodrigo menyamakan kedudukan pada minit ke-80.

"Ketika cuba menghalang gol Williams, paha saya tercedera dan saya berasa sangat sakit," katanya kepada beIN Sports.

"Saya mahu dikeluarkan tetapi Cholo (Simeone) mahukan saya terus beraksi sebagai penyerang.

"Kemenangan ini membuatkan kami teruja dan bergembira bersama penyokong.

"Kami berjuang sehingga masa penamat dan ia berhasil," tambahnya.

Kemenangan itu melonjakkan Atletico ke tangga kedua LaLiga, satu mata di belakang Barcelona yang akan bertemu Real Betis, malam ini.