Penyerang Fiorentina, Giovanni Simeone, mendedahkan bahawa dia menaruh harapan untuk berada di bawah kendalian bapanya, Diego, yang merupakan pengurus Atletico Madrid.

Pemain berusia 23 tahun itu meledak 14 gol liga musim lalu dalam kempen mengagumkan bersama Viola selain sudah mencipta dua jaringan dalam tujuh penampilan Serie A musim ini.

Walaupun mengakui bahawa nama keluarganya kadang-kadang membebankan kerjayanya, Simeone percaya dia kini berkembang maju dan akan mengalu-alukan peluang untuk beraksi di bawah bimbingan bapanya, sama ada untuk kelab atau negara.

"Pada mulanya, nama keluarga memberi beban tetapi ia sudah berbeza. Saya menganggap saya adalah seorang penyerang dan jika saya menjaringkan gol dalam permainan, itu sahajalah yang berlaku," katanya kepada DAZN.

"Saya harap dia boleh menjadi jurulatih saya pada suatu hari nanti biarpun sukar untuk menyertai pasukan di mana jurulatihnya adalah bapa sendiri.

"Mungkin dia akan menjadi jurulatih Argentina, mengapa tidak? Semua orang akan memasang hajat itu. Dalam keluarga saya, kami semua berusaha untuk mencapai tahap maksimum, tiada yang mustahil."

Simeone Jr menjaringkan gol dalam kemunculan sulung bersama Argentina bulan lalu dan khidmatnya kembali ditagih pasukan kebangsaan untuk perlawanan menentang Iraq dan Brazil.

Gonzalo Higuain, yang telah terlepas dua daripada tiga perlawanan terakhir AC Milan akibat kecederaan, tidak tersenarai dalam skuad kendalian Lionel Scaloni.

Simeone Jr, bagaimanapun, melabel bekas pemain Real Madrid itu sebagai penyerang terbaik Serie A.

"Higuain sangat tegap, penyerang paling lengkap dalam liga," katanya.

"Dia mempunyai segala-galanya, dia mampu mengawal bola, menjaringkan gol dan membantu pasukan. Kelincahannya sangat penting.

"Anda hanya perlu memberinya ruang sebanyak satu meter dan dia akan menghukum anda."