Diego Simeone menegaskan kepentingan kelibat Diego Costa tatkala penyerang itu berpotensi diketengahkan Atletico Madrid ketika bertemu Borussia Dortmund dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Costa diketepikan akibat kecederaan hamstring, namun tonggak Sepanyol itu tersenarai untuk lawatan ke Jerman bagi aksi Kumpulan A, awal pagi esok.

Pemain berusia 30 tahun itu bergelut untuk menjelmakan penyudah berbisanya musim ini. Bekas pemain Chelsea itu masih belum meledak sebarang jaringan dalam LaLiga, namun melakar gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Monaco di pentas Eropah, awal bulan ini.

Simeone, bagaimanapun, memuji Costa dengan memberitahu pemberita: "Diego Costa selalu menawarkan kami kekuatan fizikal dan moral.

"Dia merupakan pemain yang sangat penting menerusi wataknya dalam pasukan dan potensinya sebagai pemain bola sepak.

"Dia tidak beraksi sebelum ini, maka kami perlu melihat sekiranya dia sudah bersedia untuk aksi utama atau tidak. Dia berlatih dengan baik (semalam) dan dia mampamerkan semangat.

"Apabila dia bersemangat, ia membuatkan para peminat, rakan sepasukan dan kakitangan teknikal gembira."

Dortmund dan Atletico memimpin tangga teratas Kumpulan A dengan dua kemenangan -- Club Brugge dan Monaco belum mengutip sebarang mata.

Dortmund turut menduduki tangga teratas dalam saingan Bundesliga menerusi kelincahan Paco Alcacer yang telah meledak lapan kali sejak tiba dari juara LaLiga, Barcelona.

"Mengenai kemampuannya, kami tidak terkejut," tambah Simeone. "Dia seorang pemain yang mempunyai tekad, dekat dengan kawasan penalti, bergerak tidak jauh yang membolehkan pertahanan mereka membuat umpanan kepadanya untuk gerakan penyudah.

"Keyakinan adalah sesuatu yang sangat penting bagi pemain. Paco menemui rentak dan dia telah memberi jawapan atas sesuatu yang dilakukannya apabila mempunyai peluang."