Diego Simeone gembira dengan pendekatan Atletico Madrid yang bersatu padu selepas mengharungi ranjau sepanjang Januari lalu sambil menganggap semua pasukan pasti akan menempuhi seumpamanya.

Atleti menamatkan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan -- di antara 12 Januari dan 1 Februari lalu -- sejak kekalahan 'derby' kepada Real Madrid.

Bagaimanapun, Simeone tetap menggalas tanggungjawab berkenaan dan sejak itu pasukan kendaliannya belum tewas dalam empat perlawanan dengan mengecapi tiga kemenangan -- termasuk kemenangan tipis 1-0 ke atas Liverpool dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

Pengurus kelahiran Argentina itu tidak mahu mencipta alasan ketika bercakap mengenai tempoh sukar sebelum ini sambil menganggap ia sememangnya sudah dijangkakan.

"Apabila anda merancang untuk musim baru, saya sudah tahu bahawa kami mungkin akan melalui masa sukar dan rumit seperti ini," katanya dalam sidang berita sebelum bertemu Espanyol, semalam.

"Bagi setiap pasukan, ada bahagian yang berlainan dalam setiap musim kerana akan ada kecederaan atau keputusan yang buruk, ia tempoh yang sulit"

"Saya tahu ia hanya satu fasa dalam setiap musim, kami perlu mengekalkan keseimbangan dan kekuatan, bersabar dan bertahan ketika tempoh yang buruk."

Lawan mereka malam ini, Espanyol, berada di tangga tercorot LaLiga, namun pengurus itu menjangkakan ujian sukar buat Atleti yang menduduki tempat keempat.



"Kami berjuang untuk tujuan yang berbeza tetapi kemenangan adalah penting bagi kedua-dua pasukan," katanya.

"Apabila tiba di bahagian ketika ini, keperluan sangat penting buat kedua-dua pasukan.

"Saya tahu ia akan menjadi pertarungan yang sengit di bahagian tengah. Butiran kecil akan menentukan cara perlawanan ini berlangsung."


Begitupun, dengan pertembungan di antara Madrid dan Barcelona yang berlangsung lima jam kemudian, Simeone menegaskan bahawa dia tidak berminat dengan perlawanan itu kerana fokus utamanya adalah terhadap Espanyol.

"Saya tidak memikirkannya," katanya.

"Kami hanya memikirkan perlawanan kami dengan Espanyol dan mengenai tugas kami, iaitu LaLiga dan mendapatkan mata yang kami perlukan."