Simeone: Gemuruh lanjutkan ketumpulan Atletico

Oleh Penulis Jemputan 7 Disember 2019 59
Simeone: Gemuruh lanjutkan ketumpulan Atletico
VILLARREAL 0 ATLETICO MADRID 0 

Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, berkata kegemuruhan telah menghalang pasukannya daripada menjaringkan gol ketika buntu tanpa jaringan di Villarreal.

Atletico gagal memenangi perlawanan LaLiga ketiga berturut-turut berikutan selepas tumpul ketika bertemu Villarreal awal pagi tadi. 

Ia adalah satu lagi perlawanan tidak berbisa yang dipamerkan anak buahnya buat kali keenam musim ini apabila hanya berupaya menyumbat 16 gol dalam saingan liga.

"Ia satu perkara biasa apabila anda mencipta begitu banyak peluang dan gagal menyudahkannya, maka kegemuruhan mulai muncul," kata Simeone kepada wartawan. 

"Lebih banyak kebimbangan, maka ketajaman semakin berkurangan.

"Apabila sifat gemuruh itu hilang, ketenangan dan ketepatan akan hadir. Hari ini kami mempunyai beberapa peluang berharga menerusi Joao Felix dan (Renan) Lodi, tetapi kami tidak membuat penyudah yang tepat."

Atletico sepatutnya berpeluang mengakhiri hujung minggu ini dengan tujuh mata di belakang pasukan di tangga ketiga, Sevilla, dan lapan mata dengan peneraju, Barcelona.

"Pada masa ini, apa yang membimbangkan saya adalah untuk memenangi perlawanan dan segala-galanya akan dikendalikan dengan pendekatan yang berbeza," katanya lagi. 

Ketua pasukan, Koke menambah: "Kami tidak bernasib baik di depan pintu gol, ketajaman atau saya tidak tahu secara pasti apa yang kurang. Untuk menang, kami perlu menjaringkan gol.

"Pasukan bertahan dengan baik, memberikan segalanya tetapi kami perlu lebih tepat dalam semua aspek, termasuk penyerang, pemain tengah, pertahanan."
 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen