Diego Simeone belum terfikir untuk merehatkan bintang Atletico Madrid menjelang penyambungan Liga Juara-Juara Eropah.

Atletico semalam diundi bertemu RB Leipzig dalam suku akhir dan pemenang perlawanan itu akan bertemu sama ada Atalanta atau Paris Saint-Germain (PSG) dalam separuh akhir kejohanan mini di Lisbon bulan depan.

Skuad kendalian Simeone itu akan mengesahkan tempat empat teratas dalam LaLiga seandainya menewaskan Real Betis awal pagi esok.

Walaupun semakin hampir untuk memastikan tempat dalam Liga Juara-Juara musim depan, pengendali Atletico itu masih belum mahu melakukan penggiliran pemain.

"Setiap kali kami memilih pemain, kami berfikir untuk memenangi perlawanan itu. Esok juga seperti itu," kata Simeone.

"Ia akan menjadi perlawanan yang amat penting. Ia akan memberikan kami laluan untuk ke Liga Juara-Juara musim depan, di mana ia adalah sesuatu yang kami buru sejak sekian lama.

"Kami akan mencuba memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu, melihat sewaktu sesi latihan bagi mengetahui apa yang terbaik bagi perlawanan esok, di mana ia adalah perkara terpenting.

"Dan selepas itu, kami akan menggunakannnya di atas padang," katanya.

Selepas menyingkirkan juara bertahan, Liverpool, dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara, Atletico dianggap antara pasukan terkuat dalam saingan itu.

Simeone, bagaimanapun, tidak menganggap pasukannya seperti itu sambil menerangkan betapa Leipzig boleh memberikan ancaman.

"Sentiasa ada orang sama yang akan meninggikan atau merendahkan anda.

"Demi mahu mengelak daripada golongan ekstremis seperti itu, saya hanya katakan apa yang sudah saya katakan selepas undian itu.

"Kami akan berdepan pasukan hebat dengan permainan serangan pantas.

"Pasukan yang banyak menjaringkan gol dan menamatkan musim dengan cemerlang di Jerman," tambahnya.