Diego Simeone menganggap Atletico Madrid wajar lebih dihormati berbanding menerima kritikan terhadap gaya permainan yang diamalkan mereka.

Atleti bersaing untuk merebut kejuaraan LaLiga, Copa del Rey dan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini setelah kejayaan merangkul Piala Super UEFA menerusi kemenangan 4-2 ke atas Real Madrid pada Ogos lalu.

Jaringan lewat Ousmane Dembele menafikan kemenangan 1-0 mereka ke atas penyandang juara liga, Barcelona pada Ahad lalu sementara kemenangan menentang Monaco, awal pagi esok, akan menjamin tempat mereka dalam pusingan 16.

Simeone mengakui pihak lawan seharusnya lebih menghormati Atleti daripada menuduh Atletico menggunakan taktik negatif.

"Saya tidak terlalu banyak memikirkan tentang itu (sama ada Atletico dihormati atau tidak) kerana saya hanya cuba mencari penyelesaian untuk dapat bersaing dan terus berada dalam kedudukan terbaik liga, UCL dan saingan merebut trofi, "katanya dalam sidang akhbar.

"Bola sepak adalah indah kerana setiap orang boleh mempunyai pendapat dan membuat pertimbangan tentang apa yang mereka fikirkan dan saksikan.

"Saya sangat menghormatinya dan akan sentiasa begitu. Kadang-kadang, tiada penghormatan terhadap cara permainan kami. Begitupun, kami tidak boleh mengubah pendapat orang.

"Setiap orang boleh fikir apa yang mereka mahu, ia sama seperti politik."

Diego Costa akan terlepas pertemuan dengan Monaco akibat masalah kaki yang dilaporkan memerlukan pembedahan, namun Simeone maish menunggu nasihat daripada kakitangan perubatan.

"Dia berusaha keras, dia berasa sakit di kakinya," kata pengurus itu.

"Jabatan perubatan akan menilai apa yang terbaik untuk masa depannya. Saya berharap Costa dapat bersama kami untuk jangka masa panjang dan dia sentiasa mencurah aksi terbaik ketika ketika cergas.

"Saya tidak menganggap (Atletico Madrid tanpa Costa). Dia tahu apa yang saya fikirkan tentangnya."

Simeone menambah kekecewaannya terhadap situasi final Copa Libertadores di antara Boca Juniors dan bekas kelabnya, River Plate.

Perlawanan kedua final itu akan dilangsungkan di luar Argentina pada 8 atau 9 Disember depan selepas aksi kedua itu ditangguhkan susulan serangan peminat River ke atas bas pasukan Boca.

"Saya berasa sedih," kata Simeone.

"Saya mempunyai Argentina dan apa yang sedang berlaku menyakitkan. Ini memalukan kami kerana tidak dapat menunjukkan dunia mengenai siapakah kami."