Diego Simeone melabelkan Cristiano Ronaldo sebagai pemain terbaik di dunia sambil memberi amaran kepada skuad Atletico Madrid bahawa Juventus lebih daripada sekadar seorang individu.

Bekas penyerang Real Madrid itu telah menjaringkan 25 gol ke atas Atletico dalam semua pertandingan, termasuk melakar hatrik ketika bertemu dalam pusingan 16 pada musim 2018-19.

Pemain antarabangsa Portugal itu gagal menemui sentuhan penyudah dalam pertemuan pertama dua bulan lalu dan bergelut dengan kecergasan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, lalu meletakkannya dalam keraguan untuk pertembungan pertengahan minggu ini.

"Dia sentiasa bermain dengan baik. Dia adalah pemain nombor satu, seorang pemain yang mengagumkan," kata Simeone dalam sidang media pra-perlawanan semalam.

"Dia sentiasa tahu bagaimana untuk mencetuskan masalah kepada lawan tetapi ketika bertemu Atletico Madrid, saya tidak fikir ia akan mengenai Ronaldo sahaja.

"Kami tidak sabar-sabar lagi untuk beraksi di stadium yang menakjubkan ini dan kami mahu mempamerkan permainan yang hebat."

Kelab Itali itu sudah mengesahkan tempat di peringkat kalah mati sementara Atletico boleh menyertai mereka sekiranya meraih tiga mata di Turin.

Bagaimanapun, Atleti hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir, justeru Simeone menjangkakan satu lagi perlawanan sukar apabila mereka menentang pendahulu Serie A itu.

"Ia akan menjadi satu perlawanan yang hebat untuk menghadapi pasukan yang sangat mantap dan mempunyai keinginan tinggi," katanya.

"Kami mempunyai jalan tersendiri, iaitu memikirkan tentang permainan esok (awal pagi ini). Terdapat banyak keputusan yang boleh menghasilkan kepuasan atau tidak. Maka, kami akan melihat kepada baki perlawanan."

Joao Felix merupakan sebahagian daripada skuad Atletico apabila sudah kembali daripada rehat selama sebulan dengan membuat penampilan dari bangku simpanan selama 15 minit ketika seri 1-1 dengan Granada dalam aksi LaLiga, Sabtu lalu.

Pemain termahal kelab Sepanyol itu telah menyumbat tiga gol dalam 12 penampilan kompetitif, namun Simeone menekankan mengenai betapa pentingnya kelibat penggempur tersebut.

"Dia sudah bersama kami buat seketika, dia mengalami kecederaan sebulan lalu dan kami tidak boleh mengharapkannya," kata Simeone kepada media.

"Kami memerlukannya kerana dia adalah berbeza, mempunyai ciri-ciri yang kami tiada di atas padang. Dengan kerendahan hatinya, usaha dan keinginannya untuk memperbaiki diri sejak hari pertama, dia akan terus berkembang kerana dia mempunyai bakat besar."

Atletico dipisahkan tiga mata dengan Juventus tetapi pemain tengah, Koke, yang bermain ketika kedua-dua pasukan seri 2-2 di Madrid, mencabar pasukannya agar meraih kedudukan puncak Kumpulan D.

"Kami mahu bermain baik di stadium ini," katanya. "Kami mahu melayakkan diri dan jika boleh, menduduki puncak kumpulan.

"Ia terpulang kepada kami. Kami akan menentang salah sebuah pasukan terbaik, jadi kami perlu tenang dan bermain dengan baik untuk memperoleh tiga mata."