Kapten Sime Darby FC, Juzaili Samion, menegaskan perjuangan mereka belum berakhir sekalipun pasukan sudah mencapai sasaran layak ke Liga Perdana musim depan.

Sime Darby menewaskan pasukan pilihan, Felcra FC, 1-0 dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FAM di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Ia membolehkan pasukan yang digelar The Giant Killers itu melangkah ke pentas akhir menerusi agregat 1-0, sekali gus meraih slot Liga Perdana.

Menghadirkan kegembiraan kepada seluruh warga Sime Darby, Juzaili mengharapkan kejayaan lebih manis apabila pasukannya akan berentap dengan UKM FC untuk penentuan juara.

"Bagi sasaran saya sendiri, ia lebih manis kalau kami layak ke Liga Perdana dengan menjuarai Piala FAM ini.

"Jadi, kami akan menggunakan sepenuhnya kekuatan untuk mencapai sasaran sebagai juara," katanya.

Kembali ke kancah Liga Perdana hanya dalam tempoh semusim, Sime Darby jelas bersedia untuk kembali bersaing menerusi perbelanjaan yang lebih besar pada musim depan.

Ia tidak dinafikan pengurusnya, Zainal Amat, dengan segala perancangan membabitkan pemain import, termasuk mengekalkan khidmat jurulatih, Ahmad Yusoff, yang akan dimuktamadkan sejurus selepas final nanti.

"Saya gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh barisan kejurulatihan, dan Insya-Allah kami akan tunggu presiden kami balik daripada kerja luar untuk berbincang mengenai strategi tahun depan," katanya.