Silva: United masih bernasib baik

Oleh Penulis Jemputan 8 Januari 2020 179
Silva: United masih bernasib baik
Bernardo Silva berpendapat Manchester United bernasib baik hanya ketinggalan 3-0 sebelum rehat dalam aksi separuh akhir pertama Piala EFL.

Awal pagi tadi, City meraih kemenangan 3-1 di Old Trafford selepas aksi memukau dalam babak pertama membolehkan mereka hanya selangkah ke final.

Silva membuka tirai jaringan menerusi rembatan jarak jauh sebelum membuka ruang buat Riyad Mahrez melebarkan keduudkan. Jaringan sendiri Andreas Pereira yang hadir hasil daripada usaha Kevin de Bruyne memberikan jurang besar buat United sebelum rehat.

Marcus Rashford meledakkan gol buat tuan rumah selepas rehat tetapi jaringan itu hadir tatkala United jelas mudah ditewaskan sebelum itu.

"Saya fikir kami mampu raih empat atau lima gol kerana membazirkan beberapa peluang dan babak kedua menjadi sukar buat kami.

"Mereka mula memberi tekanan tinggi, cuba mengawal permainan dan mendapatkan bola. Kami agak penat tetapi saya fikir secara keseluruhan, ia adalah persembahan hebat dan kami berbangga dengna kemenangan ini.

"Tidak mudah untuk datang ke Old Trafford menentang salah satu pasukan terbaik di England dan Eropah sebelum menang 3-1.

"Apabila anda beraksi dalam perlawanan setempat menentang United, anda tidak sentiasa menang. Kami kecewa kerana tewas di laman sendiri di tangan mereka, Disember lalu kerana ia tidak normal buat kami. Datang ke sini, bermain untuk penyokong yang datang dan mereka jelas membantu kami dalam kemenangan ini."

Pep Guardiola mencipta kejutan apabila mempertaruhkan lambakan pemain tengah dalam kesebelasan utama tanpa meletakkan penyerang tulen.

"Saya menikmatinya kerana kami menang dan ia berhasil," tambah Silva mengenai percaturan pengendali dari Sepanyol itu.

"Saya fikir Guardiola mahu letakkan seorang lagi pemain di bahagian tengah dan dia pertaruhkan saya. Gembira kerana ia berhasil."


Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen