Kapten Paris Saint-Germain (PSG), Thiago Silva, memuji wira hatrik pasukan itu, Kylian Mbappe, selepas penyerang itu memecahkan rekod Lionel Messi dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Mbappe masuk dari bangku pemain simpanan untuk menjaringkan tiga gol dalam tempoh 22 minit bagi membantu PSG membelasah Club Brugge 5-0 di Jan Breydelstadion.

Pemain sensasi PSG itu menjadi pemain termuda menjaringkan 15 gol dalam Liga Juara-Juara pada usia 20 tahun dan 306 hari, sekali gus memadamkan rekod bintang Barcelona, Messi, yang melakukannya pada usia 21 tahun dan 288 hari.

Silva memuji Mbappe dengan berkata kepada wartawan: "Dia beraksi dengan amat baik, dia sudah bersedia, dia satu kurniaan, saya tidak boleh berkata apa-apa lagi kerana dia pemain yang luar biasa.

"Saya amat gembira untuknya, untuk pasukan ini, dengan cara kami bermain hari ini.

"Dalam babak pertama, ia amat sukar. Kami menyedarinya.

"Tetapi dalam babak kedua, kami lebih efektif.

"Kami menghasilkan peluang dan menjaringkan gol.

"Terutama Kylian, dia pemain yang mengagumkan," katanya.

PSG memaparkan aksi tanpa belas kasihan di Brugge di mana juara Ligue 1 itu meneruskan rekod bersih dengan memenangi ketiga-tiga perlawanan pertama dalam Kumpulan A dan semakin menghampiri pusingan kalah mati.

Mauro Icardi membuka jaringan pada tujuh minit pertama sebelum Mbappe menggandakannya selepas sembilan minit dimasukkan.

Mbappe kemudian membantu jaringan kedua Icardi pada minit ke-63 sebelum penyerang muda itu menambah dua lagi gol untuk membawa pulang bola perlawanan.

"Kami memenangi perlawanan yang sukar," kata pengurus PSG, Thomas Tuchel.

"Ia amat rumit, keputusannya amat hebat.

"Ia sentiasa sukar untuk menewaskan Brugge di laman mereka.

"Aksi Liga Juara-Juara di laman lawan sentiasa sukar.

"Kami menjaringkan lima gol dan ia amat hebat.

"Ia satu langkah yang besar untuk layak (ke pusingan 16)," katanya.