MONACO 1 BESIKTAS 2

Pemain pertahanan AS Monaco, Djibril Sidibe, berkata pasukannya berdepan tugas sukar untuk melepasi ranjau peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) berikutan kekalahan kepada Besiktas, awal pagi tadi.


Juara Perancis itu terdampar di dasar Kumpulan G dengan hanya satu mata daripada tiga perlawanan selepas tumbang 2-1 di Stade Louis II.

Radamel Falcao memecah kebuntuan perlawanan buat tuan rumah, namun dua jaringan menerusi Cenk Tosun membawa kejayaan kepada Besiktas.

Justeru, Sidibe mengakui prestasi pasukannya itu masih belum cukup bertenaga.

"Kami kekurangan banyak perkara dan ia tidak boleh berlaku apabila beraksi dalam kancah ini," katanya kepada UEFA.

"Perkara telah pun terjadi dan kami perlu memandang ke depan dan fokus terhadap kemampuan kami. Kami akan mengadakan perbincangan.

"Kami perlu beraksi lebih baik secara individu dan sepasukan. Kami perlu lebih agresif dan beraksi lebih pantas lagi.

"Selagi masih berpeluang untuk layak, kami akan terus percaya dengan peluang yang ada. Kami sedar ia semakin sukar."

Sementara itu, Besiktas menerajui Kumpulan G dengan tiga kemenangan dan wira mereka, Tosun, berkata pasukannya mungkin boleh menang dengan jumlah jaringan yang lebih besar.

"Keseluruhan jentera pasukan beraksi dengan cukup baik. Kami memberi tumpuan 100 peratus," katanya.

"Kami bermula dengan baik, namun dibolosi dalam peluang pertama pihak lawan. Kami menyamakan kedudukan dan pada babak kedua, jurulatih memberi arahan. Kami menyumbat satu lagi gol dan sepatutnya boleh menang dengan gol lebih besar lagi."

Jurulatih Besiktas, Senol Gunes, berpendapat pasukannya tetap gembira sekiranya meraih keputusan seri, namun tidak mahu menganggap laluan ke peringkat seterusnya sudah pun terjamin.

"Saya percaya kami telah menang, terima kasih kepada pemain berbakat kami yang tahu bagaimana untuk bermain bersama dengan cukup baik," katanya.

"Monaco sebuah pasukan muda berbakat tetapi kami menguasai permainan dengan pengalaman.

"Ini hari yang baik buat kami. Kami akan menerima keputusan seri dengan gembira, sebaliknya membawa pulang tiga mata. Peluang kami meningkat tetapi itu bukan jaminan.

"Sudah tentu kami berada dalam posisi terbaik dalam kalangan empat pasukan ini."