Edisi kedua Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia (WFS) Asia ​​​​​​di Kuala Lumpur pada 1 dan 2 Julai 2020 bakal menjadi platform terbaik kepada pihak berkepentingan bola sepak tempatan untuk memahami tuntutan terkini dalam mengurus tadbir bola sepak.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, yang merasmikan edisi pertama April lalu, percaya edisi kali ini merupakan medan terbaik buat semua pihak berkepentingan dalam industri bola sepak negara untuk mengenal pasti perkembangan terkini dalam bola sepak dunia.

Kehadiran beberapa tokoh selaku penyampai ucap tama dengan kertas pembentangan serta sesi perkongsian ilmu, WFS Asia tentunya memberi ruang kepada pihak berkepentingan dalam menjalin rangkaian hubungan serta berhimpun dalam mencari idea baharu.

Selain itu, ia juga dapat menjana pendapatan, sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi menerusi industri bola sepak, katanya menerusi hantaran terbaharu di laman Facebook FAM, hari ini.

Hamidin turut menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran sidang kemuncak itu yang bukan sahaja mendedahkan badan induk itu dan ahli gabungan serta semua pihak berkepentingan kepada idea terkini, malah turut menyumbang kepada pelancongan sukan negara menerusi kehadiran ramai perwakilan dari luar negara.

Edisi kedua dianjurkan susulan kejayaan penganjuran julung kali WFS Asia di ibu negara, yang dihadiri lebih 1,000 perwakilan dari 60 negara dengan pelbagai latar belakang dalam industri bola sepak, termasuk pembuat dasar di peringkat negara dan kelab, penaja dan pengamal media.

Terdahulu, Hamidin menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi WFS Asia yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, R. Mohan, di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.

-- BERNAMA